GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pulau Pinang memperkenalkan sistem eRIBI (Rumah Ibadat Bukan Islam) dalam memudahkan permohonan peruntukan.
Menurut Exco Pembangunan Sosial, Kebajikan dan Hal Ehwal Bukan Islam, Lim Siew Khim, usaha ini bertujuan memastikan komuniti agama menerima layanan yang adil serta akses kepada kemudahan ibadat yang bermaruah.
“Kerajaan Negeri telah memperuntukkan sebanyak RM10 juta sehingga tahun 2028 untuk memenuhi keperluan Rumah Ibadat Bukan Islam (RIBI), dengan RM2.5 juta disalurkan setiap tahun.
“Sistem permohonan bantuan kini dipermudahkan melalui eRIBI, sebuah platform digital yang membolehkan pengurusan permohonan dilakukan secara dalam talian.
“Kerajaan Negeri turut berhasrat untuk menjadikan eRIBI sebagai pusat sehenti yang lebih komprehensif, termasuk fungsi audit dan dokumentasi digital bagi memastikan integriti data serta mempermudah penyelarasan maklumat,” katanya semasa sesi penggulungan perbahasan sempena Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang Ke-15 di sini, hari ini.
Mengulas isu penyediaan tanah untuk RIBI di Ampang Jajar, beliau memaklumkan bahawa 31 plot telah ditawarkan kepada persatuan yang berkelayakan.
“Sebanyak 20 persatuan telah menandatangani perjanjian dan memulakan proses penyediaan pelan bangunan, sementara persatuan lain diberikan tempoh sehingga 31 Mei 2025 untuk melengkapkan perjanjian mereka.
“Jawatankuasa Penyelarasan RIBI turut memainkan peranan penting dalam menangani isu-isu teknikal dan sosial, termasuk kesan pembangunan seperti projek LRT Laluan Mutiara.
“Jawatankuasa khas akan diwujudkan untuk mencari penyelesaian terbaik bagi isu relokasi rumah ibadat yang terjejas,” tambahnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Pinang.
Beliau turut memberi jaminan bahawa tapak rumah ibadat yang mempunyai nilai sejarah akan dipertimbangkan untuk diwartakan sebagai Tapak Warisan.
“Kerajaan Negeri menyeru semua pihak berkepentingan untuk menyokong usaha ini agar keharmonian antara agama terus terpelihara demi kesejahteraan rakyat Pulau Pinang,” katanya lagi.
Oleh: M. DANESWARAN
Gambar: DARWINA MOHD. DAUD