Kerajaan Negeri sambut baik keputusan kekalkan perkhidmatan feri Pulau Pinang

Admin

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri menyambut baik jawapan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz bahawa perkhidmatan feri Pulau Pinang akan terus beroperasi.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa perkhidmatan feri ikonik tersebut perlu dikekalkan kerana ia menjadi lambang negeri Pulau Pinang sejak sekian lama.

Chow Kon Yeow semasa mengadakan sidang media dekat Komtar.

Beliau berkata, Kerajaan Negeri Pulau Pinang juga telah memaklumkan kepada Penang Port Sdn. Bhd. (PPSB) dan Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP) bahawa perkhidmatan feri tersebut perlu diteruskan.

“Ketika SPPP dan PPSB menjelaskan kepada Kerajaan Negeri mengenai cadangan mereka untuk menggantikan feri dengan katamaran, kita (Kerajaan Negeri) beritahu mereka agar bawa perkara ini kepada Kementerian Pengangkutan (MoT) dan meminta pihak kementerian mempertimbang serta kaji semula keputusan itu.

“Saya telah bangkitkan perkara ini sekali lagi di Parlimen dan mendesak pihak kementerian untuk mempertimbangkan semula permintaan Kerajaan Negeri sepertimana dinyatakan kepada PPSB dan SPPP sebelum ini.

“Saya percaya bahawa banyak penumpang meminta agar pihak kementerian meneruskan perkhidmatan feri Pulau Pinang ini,” katanya pada sidang media dekat Komta sebentar tadi.

Hadir sama, Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif, Yeoh Soon Hin.

Tambah Kon Yeow, masalah utama yang dihadapi oleh PPSB kini adalah daripada segi peruntukan kewangan.

“PPSB memaklumkan bahawa pihaknya tidak mempunyai masalah dalam menguruskan feri ikonik ini jika aset tersebut dapat dibiayai oleh MoT.

“Tetapi mereka memberi alasan bahawa feri-feri yang ada tidak mematuhi piawaian keselamatan dan ia amat bahaya untuk meneruskan operasi,” ujarnya.

Mengulas lanjut, Kon Yeow menyatakan Kerajaan Negeri juga dimaklumkan bahawa kos untuk mendapatkan feri ikonik baru adalah tiga kali ganda lebih tinggi berbanding peruntukan membeli katamaran yang baharu.

“Justeru, sekiranya RM30 juta boleh digunakan untuk menjalankan perkhidmatan katamaran, tidakkah MoT atau Kerajaan Persekutuan boleh mempertimbangkan peruntukan RM90 juta untuk mendapatkan feri ikonik baru bagi menggantikan feri yang tidak mematuhi piawaian itu?” soalnya.

Terdahulu, Tengku Zafrul berkata, kerajaan Persekutuan meluluskan peruntukan RM30 juta kepada Pelabuhan Pulau Pinang bagi mengambil alih perkhidmatan feri.

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Langkah-Langkah Sementara bagi Pembiayaan Kerajaan (COVID-19) 2020 di Dewan Rakyat hari ini.

Sebelum ini, Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang mengumumkan perkhidmatan feri Pulau Pinang yang menghubungkan Seberang Perai dengan bahagian pulau sejak 126 tahun lalu akan diganti dengan katamaran bermula 1 Januari 2020.

Manakala, feri sedia ada pula hanya digunakan sebagai medium pengangkutan bagi pengguna basikal dan motosikal.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS
Video : ALVIE CHENG