Kerajaan Negeri sedia jadi ‘ejen pemangkin’ IR4.0 sektor perkilangan di Pulau Pinang – TKM I

Admin

BUKIT TENGAH – Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman berkata, Kerajaan Negeri Pakatan Harapan Pulau Pinang akan senantiasa mengambil bahagian dalam memperbaiki infrastruktur pelaburan, menyediakan rantaian belakan mencukupi serta memastikan polisi yang dibuat mesra pelabur, demi menyokong perkembangan Revolusi Perindustrian 4.0 (IR 4.0) yang kian berkembang di negeri ini.

Ketika menyampaikan ucaptama, beliau berharap agar persidangan serta pameran yang diadakan sempena Simposium Realisasikan Hubungan Revolusi Perindustrian 4.0 dan Sektor Industri dapat memberi manfaat maksimum kepada hampir 100 perwakilan yang hadir di kilang ECA Bukit Minyak dekat sini, pagi ini.

“Revolusi Industri 4.0) yang berlaku begitu cepat ini lah yang cuba Kerajaan Negeri tolak ke depan lagi bukan sahaja dalam sektor perindustrian negeri, tapi bagi pihak Kerajaan Negeri juga meningkatkan kualiti infrastruktur sedia ada, kualiti perkhidmatan awam di kedua-dua bandar raya (Majlis Bandaraya Pulau Pinang, MBPP dan Majlis Bandaraya Seberang Perai, MBSP) berdasarkan Penang2030.

“Kita akan cuba melonjak lagi potensi Pulau Pinang ke tahap yang lebih baik, ke arah menjadi bandar raya dan negeri pintar,” jelasnya yang juga Exco Hal Ehwal Agama Islam, Pembangunan Industri dan Perhubungan Masyarakat.

Turut berucap, Pengarah bagi Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) Wilayah Utara, Clement Wong dan Pengarah ECA Advanced Solutions Sdn. Bhd. (ECA).

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tambun, Goh Choon Aik dan Pengarah Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) Pulau Pinang, Yusni Md Yusop.

Menurut Ahmad Zakiyuddin, Malaysia termasuk Pulau Pinang seharusnya menjadi ejen pemangkin pada usaha mengubah operasi sedia ada dalam sektor perindustrian, dengan memanfaatkan perkembangan IR 4.0 ini demi mengekalkan daya tahan sektor pembuatan pada masa hadapan.

“Sesungguhnya IR 4.0 memang ada potensi untuk mengubah pembuatan dalam pelbagai cara iaitu meningkatkan produktiviti, kecekapan selain (mengurangkan) kos (operasi sebenar); melebarkan keupayaan organisasi, pengurusan dan pengeluaran; membolehkan kualiti dan pemantauan yang lebih baik.

“Oleh itu, dengan adanya acara pameran yang dianjurkan oleh MIDA, ECA, Elliance dan Omron pada hari ini, diharapkan ia menjadi usaha berterusan mereka untuk mempromosikan dan membantu sektor perkilangan merangkul IR4.0 serta memperkuat keupayaan industri dalam inovasi, penyelidikan dan pembangunan (R & D) di Malaysia terutama di Pulau Pinang,” jelasnya yang juga ADUN Pinang Tunggal.

Dalam perkembangan sama, beliau memberitahu bahawa daya tahan sektor pembuatan negara dijangka terus merangsang sektor pekerjaan, menarik pelaburan serta mewujudkan perniagaan dalam aktiviti hiliran serta sektor perkhidmatan berkaitan.

Tambah beliau, daya tahan sektor perkilangan juga dijangka kekal berdaya saing, berada di landasan yang betul ke arah mencapai kadar pertumbuhan kasar 5.1 peratus sebagaimana disasarkan dalam Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11).

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar: NOOR SITI NABILAH NOORAZIS