Kerajaan Negeri teliti langkah mitigasi banjir di Pinang Tunggal

Admin
d666598c 50af 4205 9a40 d7895e48100d

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri menerusi Jabatan Pengairan dan Saliran Pulau Pinang (JPSPP) sedang melaksanakan beberapa projek serta kajian tebatan banjir berpandukan Pelan Induk Tebatan Banjir dan Sistem Saliran Mesra Alam 2019 bagi Daerah Seberang Perai Utara (SPU).

Exco Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital, Zairil Khir Johari berkata, Kampung Permatang Langsat dikenal pasti sebagai satu-satunya lokasi titik panas (hotspot) banjir di kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Pinang Tunggal.

“Antara projek berkaitan adalah Projek Tebatan Banjir Mak Mandin yang telah siap dilaksanakan, manakala Kajian Reka Bentuk Terperinci Lembangan Sungai Lahar Endin kini berada pada peringkat penyediaan laporan konsep reka bentuk.

“Selain itu, Kajian Reka Bentuk Rancangan Tebatan Banjir Sungai Nyiur juga sedang dilaksanakan dan kini berada pada peringkat reka bentuk konsep awal,” ujarnya sebagai respons kepada soalan lisan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pinang Tunggal, Bukhori Ghazali pada Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang Kelima Belas di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Zairil memaklumkan bahawa Kerajaan Negeri melalui agensi berkaitan turut melaksanakan kerja penyelenggaraan dan penambahbaikan sistem saliran bagi menangani kejadian banjir kilat berulang di Lorong Bertam Indah 49, Paya Keladi Tengah dan Permatang Saga.

Menurutnya, Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) turut menjalankan kerja pembersihan berkala di parit perimeter perumahan dan parit monsun, selain membaiki saliran yang menghalang kelancaran aliran air di sekitar Taman Bertam Indah.

“MBSP juga telah melantik perunding untuk menjalankan kajian terperinci terhadap sistem perparitan sedia ada bagi mengenal pasti cadangan penambahbaikan serta langkah mitigasi banjir yang bersesuaian,” katanya.

Bagi kawasan Paya Keladi Tengah pula, Zairil memberitahu bahawa langkah mitigasi yang dikenal pasti termasuk kerja pengorekan semula parit tanah, penstabilan tebing saliran serta pemantauan aliran keluar air ke kolam tadahan berhampiran.

Sementara itu, Zairil turut memaklumkan, keperluan penambahbaikan sistem saliran di Permatang Saga akan diteliti berdasarkan keadaan sistem saliran sedia ada, punca kejadian banjir serta kesesuaian penyelesaian teknikal.

Mengulas mengenai punca kejadian banjir, beliau berkata, antara faktor yang dikenal pasti termasuk kapasiti sistem saliran sedia ada yang terhad susulan peningkatan pembangunan dan air larian permukaan, hujan lebat luar biasa serta mendapan kelodak.

“Pertumbuhan tumbuhan liar dan halangan dalam saliran turut menjejaskan kelancaran aliran air, khusus di Taman Bertam Indah, kejadian banjir kilat juga berpunca daripada aliran balik dan limpahan air dari Sungai Lahar Endin ke kawasan perumahan,” jelasnya.

Tambah ADUN Tanjong Bunga itu lagi, MBSP telah memperuntukkan sebanyak RM250,000 bagi kajian dan penyediaan reka bentuk terperinci sistem saliran di Taman Bertam Indah.

Pelaksanaan projek mitigasi banjir seterusnya, jelasnya, tertakluk kepada pemuktamadan cadangan teknikal serta ketersediaan peruntukan.

Oleh: NUR ASHIKIN ISMAIL
Gambar: NOOR SITI NABILAH NOORAZIS