GEORGE TOWN – Kerajaan Persekutuan perlu menginstitusikan formula perkongsian hasil cukai negeri secara telus dan tetap selaras dengan gesaan dibuat Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow di Parlimen baru-baru ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Pulau Pinang mengenai Perhubungan Persekutuan-Negeri, Gooi Hsiao Leung berkata rangka kerja berpusat yang ada ketika ini sudah lapuk, tidak adil dan regresif dari segi ekonomi.

“Faktanya tidak dapat dinafikan bahawa pada tahun 2023, Kerajaan Persekutuan mengumpul hasil berjumlah RM303 bilion.
“Namun, jumlah pemindahan mandat perlembagaan kepada semua 13 negeri digabungkan hanya berjumlah kira-kira RM3 bilion atau hanya 1 peratus daripada hasil Persekutuan.
“Sebaliknya, pada tahun 2022 perbendaharaan Persekutuan merekodkan sejumlah RM294.4 bilion, manakala negeri secara purata hanya mengumpul RM926 hasil per kapita, berbanding RM8,969 per kapita yang dicatatkan oleh Kerajaan Persekutuan.
“Ini adalah salah satu ketidakseimbangan yang paling ketara dalam mana-mana Persekutuan di seluruh dunia,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Hsiao Leung berkata, ketidakseimbangan tersebut lebih jelas dalam kes Pulau Pinang yang hanya menerima kira-kira RM100 juta dalam bentuk geran tahunan daripada Kerajaan Persekutuan.
“Ekonomi negeri kita menyumbang 7.4 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia (kira-kira RM116 bilion pada 2023) dan menjana kira-kira RM7 bilion hingga RM8 bilion cukai Persekutuan setiap tahun.
“Namun begitu, Pulau Pinang hanya menerima semula kira-kira RM100 juta dalam bentuk geran tahunan iaitu hanya 1 hingga 2 peratus daripada apa yang negeri ini sumbangkan.
“Hakikatnya, negeri seperti Pulau Pinang mesti diberi kuasa fiskal untuk mengurus pembangunan, Kebajikan, penjagaan Kesihatan dan infrastruktur mengikut keperluan setempat,” tegas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tengah itu lagi.
Hsiao Leung berkata, ketidakadilan lebih terserlah apabila perbelanjaan pembangunan negara terus disalurkan secara tidak seimbang ke kawasan Kuala Lumpur dan Lembah Klang.
“Keadaan ini telah melebarkan jurang perbezaan serantau dan menyebabkan negeri-negeri penyumbang mengalami kekurangan dana.
“Kecondongan yang berakar umbi ini telah mengganggu pembangunan yang seimbang dan melemahkan semangat kebersamaan Persekutuan kita,” ujarnya.
Sementara itu, ADUN Seri Delima, Connie Tan Hooi Peng berkata walaupun Pulau Pinang merupakan sebuah negeri kecil tetapi menjadi antara penyumbang utama kepada ekonomi negara.

Oleh itu, beliau menggesa agar satu formula yang lebih adil dapat diwujudkan yang mana bukan sahaja memberi manfaat kepada pembangunan setempat tetapi juga memberi kuasa fiskal kepada Kerajaan Negeri untuk menguruskan sesebuah negeri.
“Walaupun Pulau Pinang merupakan sebuah negeri yang kecil, namun diiktiraf sebagai “Lembah Silikon Timur” dan merupakan enjin pertumbuhan negara.
“Oleh kerana tidak ada satu formula pengagihan yang jelas ketika ini telah menyebabkan jumlah pulangan semula yang diterima oleh Pulau Pinang jauh lebih rendah berbanding sumbangan kita kepada ekonomi negara.
“Oleh itu, saya menyokong sepenuhnya gesaanKetua Menteri supaya satu formula yang adil dan munasabah diwujudkan untuk memberi kuasa fiskal kepada negeri untuk menguruskan keperluan rakyat,” katanya.
Hooi Peng berkata, memberi kuasa kepada Kerajaan Negeri tidak akan melemahkan Kerajaan Persekutuan, sebaliknya akan memperkukuh lagi daya penggerak pembangunan negara.
“Ini adalah satu pelaburan menang-menang untuk negeri dan negara, agar kita dapat bersama-sama memacu Malaysia ke tahap yang lebih tinggi dalam kerangka yang adil dan mampan,” ujarnya.
Terdahulu, Kon Yeow yang juga Ahli Parlimen Batu Kawan ketika sesi pertanyaan lisan mencadangkan supaya Kerajaan Persekutuan menyemak semula Perlembagaan Persekutuan untuk model perkongsian hasil yang baharu.
Beliau berkata, negeri-negeri sememangnya menghadapi sumber yang terhad kerana Perlembagaan dan pungutan cukai yang tidak mencukupi untuk mengendalikan sesebuah Kerajaan Negeri.
Justeru, beliau berkata sudah tiba masanya agar perkongsian hasil cukai negeri atau pulangan kembali 20 peratus kepada hasil kutipan yang dikutip kepada setiap negeri dilaksanakan.
Oleh : SUNARTI YUSOFF