Kerja-kerja sambungan paip lencongan Sungai Perai dijalankan pada Selasa

Admin
whatsapp image 2024 01 29 at 08.58.54

GEORGE TOWN – Kerja-kerja Pelan B membabitkan pemasangan dua paip lencongan 600 milimeter (mm) merentasi Sungai Perai dijangka siap sepenuhnya hari ini.

Walau bagaimanapun, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) hanya akan melaksanakan kerja-kerja penyambungan dua paip lencongan tersebut pada jam 11.30 malam, 30 Januari 2024 (Selasa).

“Sebenarnya mengikut jadual yang dibentangkan dalam Mesyuarat Exco baru-baru ini, kerja-kerja penyempurnaan Pelan B adalah pada hari esok (Selasa) tetapi ia dapat disiapkan lebih awal iaitu pada hari ini.

“Namun begitu, selepas mengambil maklum balas daripada penduduk di kawasan yang baru sahaja menerima air pada pagi ini, kita putuskan untuk mengangguhkan kerja-kerja penyambungan paip lencongan bagi memberi peluang kepada pengguna terkesan untuk menyimpan air secukupnya.

“Ini sebagai tanda penghargaan Kerajaan Negeri atas kesabaran pengguna-pengguna yang terkesan, dan kita berharap agar dalam tempoh ini mereka dapat menyimpan air secukupnya bagi menghadapi gangguan air sekali lagi apabila kerja-kerja sambungan paip berjalan,” katanya pada sidang media selepas merasmikan projek naik taraf Linear Garden dekat Padang Kota, di sini sebentar tadi.

whatsapp image 2024 01 29 at 09.18.36 whatsapp image 2024 01 29 at 08.58.55 whatsapp image 2024 01 29 at 08.58.54 (2) whatsapp image 2024 01 29 at 08.58.53

Hadir sama, Exco Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jason H’ng Mooi Lye; Exco Pembangunan Sosial, Kebajikan dan Hal Ehwal Bukan Islam, Lim Siew Khim serta Ketua Pegawai Eksekutif PBAPP, K. Pathmanathan.

Mengulas lanjut, Kon Yeow menyatakan bahawa kerja-kerja penyambungan paip lencongan Sungai Perai akan mengambil masa selama 16 jam dan dijangka siap pada jam 2 petang, hari Rabu (31 Januari).

“Selepas itu, proses pemulihan bermula dan bekalan air dapat disalurkan seperti biasa yang mana dijangka akan mengambil masa antara 24 hingga 48 jam.

“Kita doakan agar kerja-kerja penyambungan dapat dipendekkan daripada jadual asal (16 jam) dan paip tersebut mampu berfungsi dengan baik kerana ia melibatkan lencongan dari paip asal 1,300mm kepada dua paip 600mm.

“Ini mungkin akan menjejaskan tekanan air tetapi kita harap bekalan air ke kawasan terkesan dapat dipulihkan untuk satu tempoh yang panjang sebelum projek kekal membabitkan penggantian paip merentasi Sungai Perai dilaksanakan kelak,” katanya.

Pada masa sama, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Batu Kawan memberitahu bahawa kerja-kerja membabitkan Pelan A melibatkan projek mengapit paip di dasar Sungai Perai telah siap sepenuhnya semalam.

“Oleh itu, pengguna terjejas terutamanya di daerah Barat Daya telah menerima bekalan air pada pagi ini,” jelasnya.

Semalam, Kon Yeow memaklumkan bahawa proses pemulihan air bermula sejurus PBAPP berjaya menyiapkan Pelan A atau projek mengapit paip bocor sedia ada di Sungai Perai pada 4.30 petang, lalu membuka injap kawalan paip air di sana pada 6.30 petang.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : ALISSALA THIAN
Video : LAW SUUN TING