Kerjasama cemerlang aras kemenangan perang COVID-19

STATUS negeri Hijau atau sifar kes COVID-19 yang pernah dipegang Pulau Pinang selama 91 hari harus dijadikan penanda aras ‘kemenangan’ dalam peperangan melawan pandemik COVID-19 sekali lagi.

Hasil kerjasama cemerlang semua pihak di Pulau Pinang termasuk jabatan kerajaan di peringkat negeri dan Persekutuan, warga negeri serta penyelarasan menerusi Mesyuarat Jawatankuasa Khas Keselamatan (JKKN) COVID-19 yang dipengerusikan oleh Y.A.B. Ketua Menteri memainkan peranan signifikan kejayaan melawan pandemik ketika itu sehingga negeri berjaya diisytiharkan sebagai zon Hijau, ujar Ketua Polis Pulau Pinang DATO’ SAHABUDIN ABD. MANAN, 56.

“Hanya satu perkataan yang dapat mendefinisikan kerjasama yang diberikan pada ketika itu iaitu ‘cemerlang’.

“Jadi ketika ini, kita (Pulau Pinang) perlu meneruskan usaha dan semangat yang sama untuk memenangi peperangan ini sekali lagi… apa yang penting adalah kerjasama,” ulas beliau ketika ditemu bual wartawan Buletin Mutiara, NORSHAHIDA YUSOFF dan jurugambar, ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri Pulau Pinang 3 Februari lalu.

Pada tanggal 18 Mac 2020, Kerajaan Persekutuan memutuskan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0 di seluruh negara termasuk Pulau Pinang sebagai usaha membendung penularan wabak COVID-19.

Bagi Sahabudin yang baru dua minggu menjawat jawatan Ketua Polis Pulau Pinang berkata bahawa pelaksanaan PKP ketika itu merupakan sesuatu yang mencabar dan tidak seperti tugasan hari biasa mengendalikan task force PDRM (Polis Diraja Malaysia) di negeri ini.

“Ia tidak pernah berlaku sebelum ini, jadi kita tiada rujukan bukan sahaja untuk pihak PDRM tetapi KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia) juga, maknanya kita hadapi dan belajar mengendalikannya dengan cara baharu.

“Justeru sesetengah perkara, kita perlu try and error, disebabkan itulah jika hari ini prosedur operasi standard (SOP) keluar, esok dengan cepatnya telah berubah… sebab kita semua masih mengadaptasi dan cuba menyesuaikannya.

“Pada pihak PDRM Pulau Pinang sendiri, arahan yang diterima daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Ibu Pejabat Polis (Bukit Aman) juga sangat cepat berubah.

“Cabaran utama pada saya ketika itu adalah untuk memastikan semua arahan yang diterima daripada pihak atasan dapat disampaikan sepenuhnya kepada anggota bawah yang bekerja di lapangan pada tempoh PKP.

“Kadangkala, disebabkan arahan yang sering bertukar dengan cepat menyebabkan anggota di bawah tidak dapat memahami arahan secara menyeluruh, kefahaman mereka juga berbeza-beza. Bagaimanapun, kita dapat menyelesaikan hasil persefahaman dan kerjasama yang dicurahkan,’’ kongsi anak kelahiran Terengganu berkaitan yang ramah berbicara.

Mengulas lanjut, Sahabudin menyatakab bahawa semua pihak dapat mengadaptasi situasi baharu berkenaan dan dapat menyelesaikan masalah dengan cepat.

“Disebabkan kerjasama oleh banyak pihak khususnya MKN, KKM serta pihak Kerajaan Negeri yang sangat-sangat membantu PDRM, membolehkan tugas-tugas kita menjadi lebih mudah,” ujarnya sambil menzahirkan penghargaan dan terima kasih terhadap kepimpinan Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow dan Kerajaan Negeri yang banyak memberikan kerjasama serta menghulurkan sumbangan kepada PDRM Pulau Pinang.

Cabaran

Dalam menjaga keselamatan awam pada tempoh tersebut, anggota PDRM tidak terlepas daripada dijangkiti wabak merbahaya itu apabila seramai 498 anggota, pegawai dan keluarga PDRM Pulau Pinang terpaksa dikuarantin ekoran positif COVID-19.

Menjelaskan perkara tersebut, Sahabudin berkata bahawa kebanyakan mereka merupakan kontak rapat kepada pesakit positif dan ada di antaranya dijangkiti daripada orang kena tahan (OKT).

“Bagi mengimbangi aspek keselamatan dan kesihatan anggota di lapangan, setiap petugas memang diarahkan untuk memakai kelengkapan perlindungan diri seperti pelitup muka, penyediaan pensanitasi tangan dan lain-lain yang mana faktor kesihatan adalah amat diberikan penekanan.

“Malah, para anggota juga sering diingatkan supaya mengamalkan penjaran fizikal ketika melakukan pemeriksaan atau kawalan,” jelas bapa kepada lapan cahaya mata tersebut.

Difahamkan, kadar pematuhan SOP di Pulau Pinang berada pada tahap baik iaitu 98 peratus.

Sahabudin memberitahu bahawa terdapat 45 sekatan jalan raya (SJR) dilaksanakan di seluruh negeri ini dengan membabitkan kekuatan anggota seramai 843 anggota pada tempoh PKP 2.0.

“Setiap SJR diketuai oleh PDRM sambil dibantu oleh ATM, Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan sukarelawan polis.

“Selain itu, seramai 632 anggota pelbagai peringkat lain ditugaskan untuk melaksanakan task force pematuhan SOP mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342),” tambah beliau.

Kadar Jenayah

Ditanya mengenai kadar jenayah di negeri ini, Sahabudin dalam nada lega memaklumkan bahawa pada tempoh PKP 1.0 lalu, kadar jenayah di Pulau Pinang menurun sebanyak 30 peratus berbanding tempoh sama tahun 2019.

“Mungkin saya agak ‘beruntung’ daripada segi itu kerana baharu dua minggu bertugas di Pulau Pinang, PKP dilaksanakan yang mana semua orang terbatas pergerakannya dan terpaksa duduk di rumah, sekaligus menyumbang kepada penurunan kadar jenayah sebanyak 30 peratus di negeri ini.

“Tetapi, dalam tempoh tersebut menyaksikan jenayah komersial membabitkan penipuan penjualan pelitup muka adalah amat ketara yang mana dari tempoh 1 Januari sehingga 31 Disember 2020, sebanyak 91 kes telah dilaporkan membabitkan jumlah kerugian berjumlah RM3,561,952.36 dengan 19 tangkapan.

“Serentak itu, PDRM juga agresif dalam usaha membanteras judi online dengan kejayaan penguatkuasaan 103 premis telah dipotong bekalan elektrik dan 53 akaun aset disita dengan nilai RM447,181 pada tahun 2020.

“Manakala, bagi jenayah narkotik, nilai rampasan dadah bagi tahun 2020 adalah sebanyak RM48,738,985.70 berbanding tahun 2019 (RM15,324,344.70) iaitu peningkatan 218 peratus. Dalam pada itu, harta sitaan pula adalah berjumlah RM397,257,971.90 pada tahun 2020 berbanding 2019 (RM10,049,649.21),” maklumnya sambil memberi penegasan agar jangan sewenang-wenangnya menjadi mangsa dan terlibat dalam kancah jenayah.

Latar belakang

Siapa sangka, Sahabudin yang merupakan seorang yang peramah tetapi tegas dalam bidang penugasan beliau sebenarnya berkelulusan Kejuruteraan Elektrik dari University of the Pasific, Stockton, California.

Beliau mula menceburi dunia kepolisian pada tahun 1988 apabila difikirkan bidang berkaitan dapat mendisplinkan dirinya.

Sahabudin ditempatkan di Unit Udara PDRM (UUP) lebih daripada tempoh 16 tahun yang membolehkan beliau mengaplikasikan minatnya dalam ilmu kejuruteraan. Sebelum ditukarkan ke Pulau Pinang, beliau merupakan Timbalan Pengarah I Jabatan Logistik dan Teknologi Bukit Aman selain pernah menyandang beberapa jawatan lain antaranya, Timbalan Ketua Polis Negeri Kedah, Ketua Penolong Pengarah Komunikasi dan Jurutera Elektrikal dan Avionic, malah, beliau juga merupakan Jurutera Penyelenggaraan Kapal Terbang berlesen.

Mengakhiri sesi wawancara berkaitan, Sahabudin turut berkongsi bahawa ketika menjawat jawatan Ketua Penolong Pengarah Komunikasi di Bukit Aman, beliau telah membangunkan sistem telesidang khas untuk kegunaan seluruh kontinjen dan kini ia masih lagi digunakan sepenuhnya oleh pasukan keselamatan berkenaan.