Kerjasama Kerajaan Negeri Pulau Pinang ‘A+’, kata Dato’ Sahabudin

Admin

GEORGE TOWN – Ketua Polis Pulau Pinang, Dato’ Sahabudin Abd. Manan memberikan ‘gred A+’ terhadap kerjasama yang ditunjukkan Kerajaan Negeri kepada pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Pulau Pinang terutamanya dalam usaha melawan pandemik COVID-19.

“Kerajaan Negeri Pulau Pinang bukan sahaja memberikan sokongan moral tetapi juga daripada segi keperluan PDRM seperti peralatan penjagaan diri (PPE), khemah untuk sekatan jalan raya (SJR) serta bantuan khas RM300 kepada setiap anggota.

“Selain itu, Ketua Menteri sendiri setiap kali mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Khas Keselamatan Negeri (JKKN) sangat fokus dan sentiasa berusaha mencari penyelesaian terhadap masalah yang dihadapi.

Sahabudin ketika mengadakan kunjungan hormat ke atas Ketua Menteri sebentar tadi.

“Saya sangat berterima kasih kepada warga kerja di pelbagai jabatan serta agensi Kerajaan Negeri yang memberikan kerjasama yang terbaik dalam menangani COVID-19,” katanya kepada Buletin Mutiara selepas mengadakan kunjungan hormat ke atas Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow dekat Komtar di sini sebentar tadi.

Turut hadir, Timbalan Ketua Polis Negeri Pulau Pinang, Datuk Fisol Salleh yang memulakan tugas mulai 14 Jun lalu serta

Dalam pada itu, Kon Yeow dalam pertemuan kira-kira 30 minit itu memberitahu bahawa Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan terus memberikan sokongan dan sentiasa menjadi pemudah cara dalam membantu PDRM menangani pelbagai isu keselamatan di negeri ini.

Beliau dalam pada itu turut berterima kasih atas komitmen dan kecemerlangan Sahabudin sepanjang perkhidmatan beliau untuk rakyat dan negeri ini.

Pelbagai isu turut dibincangkan dalam pertemuan kira-kira 30 minit itu antara lain adalah berhubung situasi semasa pandemik COVID-19, program vaksinasi dan operasi pusat pemberian vaksin (PPV), pematuhan prosedur operasi standard (SOP) serta lain-lain lagi.

Difahamkan, Sahabudin telah dilantik sebagai Pengarah Jabatan Logistik dan Teknologi (JLOG) Bukit Aman yang baharu berkuat kuasa 1 Julai 2021 selepas berkhidmat di negeri ini selama setahun tiga bulan.

Pelantikan beliau adalah bagi menggantikan Datuk Seri Mazlan Lazim yang dilantik sebagai Timbalan Ketua Polis Negara baharu berkuat kuasa pada 25 Jun lalu.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR