Kerjasama My4IRC dan pihak swasta mampu perkasakan segmen industri negeri – Exco

BATU UBAN – Pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara Malaysian 4th Industrial Revolution Consortium (My4IRC) bersama dengan beberapa sektor swasta di negeri ini mampu memperkasaan segmen industri Pulau Pinang.

Exco Perdagangan Antarabangsa & Dalam Negeri, Hal Ehwal Pengguna dan Pembangunan Keusahawanan, Dato’ Abdul Halim Hussain berkata kerjasama tersebut penting bagi pemain-pemain industri dalam mendepani Revolusi Industri 4.0 (IR4.0) dan ekonomi digital.

“Kepakaran setiap organisasi melalui pembentukan kerjasama ini mampu memberi impak dalam sektor industri di Pulau Pinang termasuk penguasaan ekonomi digital.

“Semua badan akan memainkan peranan masing-masing, hari ini juga kita adakan Forum Transformasi Digital yang ketiga.

“Langkah Kerajaan Pusat beri RM30 melalu e-dompet juga sebenarnya sebahagian daripada usaha menggerakkan ekonomi digital,” ujar beliau dalam satu sidang media selepas tamat program ‘Role of Big Data & Analytics in Industry 4.0 Supply Chain’ dekat Universiti Sains Malaysia (USM) semalam.

Hadir sama, Naib Canselor DRB HICOM University of Automotive Malaysia, Prof. Datuk Sr. Dr. Omar Osman; Ketua Pegawai Eksutif MIMOS Berhad, Emelia Matrahah; Pengarah Urusan USAINS, Farid Wajidi Mat Yusoff serta wakil-wakil dari TalentCorp Malaysia, Telekom Malaysia dan Digital Next Solution.

Mengulas lanjut, Abdul Halim percaya bahawa inisiatif tersebut juga selari dengan visi Penang2030 serta dapat membantu Pulau Pinang untuk muncul sebagai negeri pintar.

“Pulau Pinang ada ekosistem dan kekuatan dalam sektor industi dan sangat bersedia… kita sudah lama perkasakan STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik), bahkan kita sememangnya mempunyai tenaga kerja yang cukup,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Maung.

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : DARWINA MOHD. DAUD