Kerjasama PH–Perpaduan perkukuh kekuatan hadapi PRN

Admin
img 20260329 wa0042

PERMATANG PASIR – Kerjasama antara Pakatan Harapan (PH) dan gabungan di bawah payung Perpaduan dilihat sebagai formula paling berkesan dan praktikal dalam menghadapi pilihan raya negeri (PRN) akan datang, kata Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow.

Menurut beliau yang juga Pengerusi PH Pulau Pinang, pendekatan tersebut bukan sahaja relevan pada peringkat negeri, malah sesuai diterapkan pada peringkat kebangsaan bagi memastikan kestabilan politik terus terpelihara.

“Kerjasama ini penting bagi mengelakkan perpecahan undi yang berpotensi menyebabkan kehilangan kerusi, sekali gus memberi kelebihan kepada pihak pembangkang.

“Walaupun setiap parti mempunyai pandangan tersendiri, pendirian di Pulau Pinang jelas bahawa kita lebih kuat bersama dalam usaha meraih kepercayaan serta sokongan rakyat,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Pakatan Harapan Pulau Pinang di Dewan Orang Ramai Permatang Pasir dekat sini sebentar tadi.

img 20260329 wa0036img 20260329 wa0038img 20260329 wa0040img 20260329 wa0047img 20260329 wa0045img 20260329 wa0047

Turut hadir, Timbalan Ketua Menteri I merangkap Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Pulau Pinang, Dato’ Dr. Mohamad Abdul Hamid; Pengerusi DAP Pulau Pinang, Steven Sim Chee Keong; Pengerusi Amanah Negeri Pulau Pinang, Dr. Zaidi Zakaria; Pengerusi Umno Pulau Pinang, Dato’ Musa Sheikh Fadzir serta wakil-wakil parti Kerajaan Perpaduan Pulau Pinang.

Mengulas mengenai tahap sokongan rakyat, Kon Yeow menjelaskan bahawa penilaian sebenar hanya dapat ditentukan selepas keputusan rasmi pilihan raya diumumkan.

Namun begitu, beliau menyatakan keyakinan terhadap penerimaan rakyat berdasarkan rekod pencapaian Kerajaan Negeri yang konsisten dalam pelbagai aspek pembangunan.

“Dalam konteks ekonomi, Pulau Pinang terus mencatat kemajuan dengan kejayaan menarik pelaburan asing, membuka lebih banyak kilang serta menyediakan peluang pekerjaan kepada rakyat.

“Selain itu, aspek pembangunan sosial dan agama turut diberi perhatian melalui pelaksanaan pelbagai agenda serta penambahan peruntukan dari semasa ke semasa.

“Kerajaan Negeri juga sentiasa komited dalam memastikan keharmonian masyarakat terus terpelihara, walaupun berdepan pelbagai isu yang dimainkan oleh pihak tertentu di media sosial,” tambahnya.

Kon Yeow turut menegaskan bahawa kerjasama politik yang terjalin ini memberi gambaran jelas kepada rakyat bahawa kerajaan berupaya menjaga kesejahteraan serta keharmonian semua lapisan masyarakat di negeri ini.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai pertemuan dengan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook, Kon Yeow memaklumkan bahawa pihaknya kini menunggu pengumuman rasmi.

“Tiada maklumat tambahan buat masa ini,” ujarnya.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : MUHAMAD IQBAL HAMDAN