Kerjasama universiti awam diharap pacu ekonomi kreatif, pelestarian ekowarisan Seberang Perai

Admin
9b43fa70 288e 4d91 9e38 a73afd824902

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri mengadakan kerjasama dengan beberapa universiti awam bagi memacu pelestarian ekowarisan Seberang Perai.

Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif, Wong Hon Wai berkata antaranya projek pemuliharaan dan kajian laluan penerbangan burung hijrah di Sungai Tembus adalah melibatkan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan Universiti Sains Malaysia (USM) serta persatuan nelayan setempat.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Terubong berkata Kerajaan Negeri turut bekerjasama dengan Universiti Putra Malaysia (UPM) bagi menyediakan Fun Map Seberang Perai.

“Fun Map Seberang Perai (ialah peta) ekowarisan bagi memperkenalkan tapak sejarah dan ekopelancongan secara interaktif.

“Hasil penyelidikan seperti buku Sejarah Seberang Perai turut dijadikan bahan rujukan di MBSP (Majlis Bandaraya Seberang Perai) dan UiTM (Universiti Teknologi Mara),” jelasnya dalam sesi soal jawab lisan, Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang Ke-15 di sini pada 14 November 2025.

Dalam sesi soal jawab tambahan selepas itu, ADUN Machang Bubuk, Lee Khai Loon meminta Hon Wai menjelaskan mengenai perancangan Kerajaan Negeri untuk memperkasa ekonomi kreatif di Pulau Pinang.

“Apakah strategi Kerajaan Negeri untuk membangunkan ekonomi kreatif berkaitan bidang perfileman (dan) pembangunan industri muzik seperti Korea Selatan di Seberang Perai,” soal Khai Loon.

Dalam reaksi balas, Hon Wai berkata Kerajaan Negeri komited terhadap agenda ekonomi kreatif di Pulau Pinang terutama Seberang Perai.

“Dengan kerjasama beberapa agensi, baru-baru ini kita ada melancarkan Galeri (Karyawan) Nordin Ahmad di (kawasan Parlimen) Permatang Pauh,” jelasnya lagi.

Sebelum pada itu, Speaker Dewan, Dato’ Seri Law Choo Kiang berkata beliau berharap sejumlah 73 soalan lisan, 766 soalan bertulis, dua rang undang-undang (RUU) dan tiga usul dapat dibahaskan sepanjang persidangan pada kali ini.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : SIEW CHIA EN
Video : SITI NURATIKAH RAHMAT