TANJONG BUNGA – Sebahagian Jalan Tanjong Tokong Lama sepanjang 124 meter ditukar nama kepada Jalan Shaik Ibrahim adalah bagi mengiktiraf dan mengenang jasa serta sumbangan Shaik Ibrahim di negeri Pulau Pinang khususnya kepada penduduk di kawasan Tanjong Tokong.
Exco Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital, Zairil Khir Johari berkata, permohonan pertukaran nama jalan ini telah dibentangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Nama Geografi Negeri (JNNG) Bil. 1/2025 yang dipengerusikan oleh beliau sendiri pada 4 Disember 2025.

“Seterusnya, cadangan ini telah dibentangkan kepada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) pada 25 Februari 2026 dan disahkan pada hari yang sama juga telah meluluskan cadangan pertukaran nama sebahagian Jalan Tanjong Tokong Lama ke Jalan Shaik Ibrahim, 10470 Pulau Pinang.
“Beliau (Shaik Ibrahim) adalah bekas Presiden Persatuan Melayu Pulau Pinang (PEMENANG) yang keempat, yang telah berkhidmat selama tempoh lima tahun bermula dari tahun
1930 sehingga 1934,” ujarnya pada Majlis Sidang Media Bagi Penamaan Jalan Shaik Ibrahim Tanjung Tokong di sini pagi tadi.
Tambah Zairil, berdasarkan sumber maklumat daripada penduduk setempat, Jalan Shaik Ibrahim sebelum ini pernah digunakan sebagai kawasan tapak pasar pagi, pasar malam dan Madrasah At-Taqwa sekitar tahun 1925.
“Hal ini membuktikan bahawa sebutan Jalan Shaik Ibrahim ini telah wujud sejak dahulu Iagi.
“Tetapi, jalan ini didaftarkan dalam data nama jalan ke Jalan Tanjong Tokong Lama semasa pembangunan Pangsapuri Warisan Tanjong pada 2014
“Berdasarkan semakan oleh MBPP, nama Jalan Shaik Ibrahim tidak wujud di dalam rekod nama jalan jabatan.
“Sehubungan dengan itu, untuk mengelakkan kekeliruan penduduk, Jalan Shaik Ibrahim dikembalikan semula dan didaftarkan secara sah didalam rekod jabatan sebagai nama jalan yang telah diluluskan,” ulasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Bunga.
Turut hadir, Ahli Parlimen Bukit Bendera, Syerleena Abdul Rashid; Setiausaha Bahagian bagi Bahagian Kerajaan Tempatan, Muhamad Husni Mahmud; Pengarah Jabatan Khidmat Pengurusan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Azman Sirun dan Presiden PEMENANG, Tan Sri Dr. Mohd. Yussof Latiff.
Difahamkan Shaik Ibrahim adalah seorang dermawan yang banyak membantu masyarakat setempat.
Mohd. Yussof dalam pada itu memberitahu, Shaik Ibrahim juga merupakan editor pengarang akhbar tempatan dan pernah mendapat pengiktiran Justice of Peace daripada Kerajaan British dan Kerajaan Jepun pada era tahun 1940-an.
Gambar: LAW SUUN TING