Ketua Menteri agih bubur lambuk buat pengunjung dan penjawat awam Komtar

Admin

GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow mengagihkan 500 pek bubur lambuk kepada para pengunjung dan penjawat awam di Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) dekat sini.

Antara penjawat awam yang menerima sumbangan bubur lambuk percuma daripada Ketua Menteri.

Beliau berkata, program anjuran Pejabat Penerangan Kerajaan Negeri Pulau Pinang tersebut adalah bertujuan untuk mendampingi masyarakat sempena bulan Ramadan.

“Saya percaya di peringkat wakil rakyat juga mereka sudah menjalankan program-program seperti ini.

“Sebelum ini, kita juga telah mengadakan program berbuka puasa iaitu Majlis Iftar di tepi Masjid Kapitan Keling dan program yang sama akan akan diadakan di Parlimen Tasek Gelugor pada 1 Jun ini,” ujarnya ringkas sejurus majlis berkaitan tadi.

Turut serta, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Komtar merangkap Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri, Teh Lai Heng.

Dalam pada itu, Pegawai Penerangan Kerajaan Negeri, Pejabat Ketua Menteri, Zahar Zainul memberitahu bahawa melalui program berkenaan, sejumlah 5,000 pek bubur lambuk telah diedarkan merangkumi seluruh negeri termasuk Seberang Perai.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS
Video : LAW SUUN TING