GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow seakan memberi bayangan bahawa sebuah pusat pentadbiran negeri baharu akan dibina di Pulau Silikon, tetapi tidak akan mengambil sepenuhnya peranan Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri sedia ada di Kompleks Tun Abdul Razal (Komtar) dekat George Town.
Beliau yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Ekonomi & Tanah dan Komunikasi berkata sedemikian usai merasmikan Program Publisiti dan Penyertaan Awam Laporan Rancangan Tempatan Penang Silicon Island (RTPSI) 2050 di sini pada 7 April 2026.
“Memang ada cadangan (iaitu) pusat pentadbiran baru (yang mana) dalam lingkungan beberapa bangunan.
“Pada ketika ini, perancangan seni bina bagi fasa tersebut telah pun siap (yang mana) tanah itu akan tersedia pada tahun 2028, sebaik sahaja tanah sedia untuk digunakan, kerja-kerja pembinaan akan dimulakan,” jelasnya kepada Buletin Mutiara.

Di samping itu, Kon Yeow memberitahu bahawa di Pulau Silikon, tanah tersedia seluas 68.52 ekar atau hampir 70 ekar turut akan diserahkan kepada Mass Rapid Transit Corporation Sdn. Bhd. (MRT Corp.) pada bulan Mei ini untuk tujuan pembangunan depo dan stesen utama bagi mod pengangkutan awam berbasis rel darat moden, iaitu projek transit aliran ringan (LRT) Laluan Mutiara.
Difahamkan, bagi fasa 1 projek penambakan laut bagi mewujudkan pulau buatan seluas 1, 270 ekar tersebut disasar siap pada tahun 2031.
Sehingga Mac 2026, kemajuan fizikal di Pulau Silikon adalah konsisten dan luas kawasan siap tambak sebanyak 330 ekar.
Dalam perkembangan berkaitan, Kon Yeow yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Batu Kawan turut menjelaskan bahawa perbekalan air bersih dan terawat sedia ada di negeri ini adalah mencukupi bagi menampung permintaan domestik dan sektor perindustrian apabila Pulau Silikon kelak.

Exco Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jason H’ng Mooi Lye; Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif, Wong Hon Wai; Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Zairi Mat Ali; Pengarah Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia) Negeri Pulau Pinang, Dato’ TPr. Gs. Rozita Hamit dan Ketua Pegawai Eksekutif PIC, Dato’ Seri Farizan Darus turut sertai sidang media tersebut sebentar tadi.
Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI
Video : SIEW CHIA EN