BUKIT TAMBUN – Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ramli Ngah Talib sendiri menyempurna acara pelepasan lebih 2,500 peserta Program Larian Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam Ke-20 (MAPPA XX) bagi peringkat Wilayah Utara di perkarangan Aspen Vision City, Batu Kawan pada 28 Jun 2025.
Seawal 7.45 pagi, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Ekonomi & Tanah dan Komunikasi bersama-sama Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (Operasi), Dato’ Indera Nik Nasarudin Mohd Zawawi turut mengiringi Tun Ramli pada acara tersebut.
Kon Yeow yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Batu Kawan turut menyertai acara larian ria sejauh 3 kilometer (km) sebelum meninggalkan lokasi acara penganjuran tersebut.
Selepas itu, Tun Ramli dengan diiringi Indera Nik Nasarudin; Pengarah Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN), Datuk Dr. Mohd Zabri Yusoff dan Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Dato’ Zulkifli Long turut melawat reruai serta menyempurna acara cabutan bertuah dan pemberian hadiah kepada para pemenang.

Buletin Mutiara difahamkan, acara berkaitan dianjurkan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dengan kerjasama Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) Kampus Wilayah Utara (INTURA).
Selaras dengan aspirasi Kerajaan Madani peringkat Persekutuan, Larian MAPPA dianjurkan dengan tujuan untuk memupuk nilai kerjasama dan kepercayaan antara pegawai awam serta komuniti khususnya dari negeri-negeri utara Semenanjung Malaysia.
Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : SIEW CHIA EN
Video: LAW SUUN TING