Ketua Menteri jalani pemeriksaan kesihatan, seru wakil rakyat lakukan perkara sama

Admin
whatsapp image 2024 04 26 at 09.07.17

GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow menjadi antara wakil rakyat terawal di negeri ini yang menjalani saringan kesihatan setahun sekali bermula tahun ini.

Beliau menjalani pemeriksaan kesihatan di Klinik Kesihatan Pusat Transformasi Bandar (UTC) Komtar dekat sini sebentar tadi.

Bercakap kepada Buletin Mutiara, Kon Yeow menyatakan bahawa semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) wajar menjalani saringan kesihatan sebagaimana yang dicadangkan oleh Exco Belia, Sukan dan Kesihatan, Daniel Gooi Zi Sen pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang pada sesi lepas.

whatsapp image 2024 04 26 at 09.07.19 whatsapp image 2024 04 26 at 09.07.18 whatsapp image 2024 04 26 at 09.07.17 (1)

“Selepas jalani pemeriksaan, doktor nasihatkan supaya lebih berdisiplin terutamanya dari segi pemakanan dengan mengurangkan pengambilan nasi, banyakkan makan sayur-sayuran dan buah-buahan serta minum lebih banyak air.

“Selain itu, doktor juga menyarankan agar sentiasa mengawal paras gula dan tekanan darah dengan melakukan senaman sekurang-kurangnya 30 hingga 40 minit setiap hari.

“Ini perkara lazim dan mudah untuk dilakukan tetapi ramai yang mengambil mudah mengenai disiplin penjagaan kesihatan diri,” ujarnya ketika ditemui selepas menjalani saringan kesihatan di sini

Sementara itu, Zi Sen yang turut hadir memberitahu bahawa cadangan pemeriksaan kesihatan adalah melibatkan semua ADUN sama ada di pihak kerajaan mahupun pembangkang.

“Saya sudah keluarkan satu arahan supaya semua ADUN perlu menjalani pemeriksaan kesihatan setahun sekali di klinik kesihatan daerah masing-masing bermula tahun ini.

“Perkara ini penting untuk mengesan isu-isu kesihatan yang dihadapi lebih awal dan seterusnya membolehkan mereka mendapatkan rawatan.

“Setakat ini, semua ADUN menyatakan sokongan mereka terhadap cadangan ini, dan bersetuju untuk menjalani saringan kesihatan sebagaimana yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) seperti ukuran tinggi, berat badan, tekanan darah, tahap glukosa, tahap kolestrol serta elektrokardiogram (ECG).

“Oleh itu, saya menyeru kepada semua wakil rakyat untuk menjalani saringan kesihatan dan menunjukkan contoh dan teladan terbaik kepada rakyat terbanyak,” katanya.

Beliau berkata, semua ADUN boleh menjalani rawatan kesihatan di klinik kesihatan berhampiran pada tarikh-tarikh yang ditetapkan iaitu bermula 19 hingga 26 April siikuti 3, 10 dan 17 Mei 2024.

Klinik Kesihatan (KK) terlibat adalah :
* Daerah Barat Daya – KK Sungai Dua, KK Tanjong Bungah, KK Jalan Angsana dan KK Jalan Pera

* Daerah Timur Laut – KK Bayan Lepas, KK Teluk Bahang dan KK Air Putih.

* Daerah Seberang Perai Utara (SPU) – KK Kepala Batas

* Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) – KK Bandar Perda

* Daerah Seberang Perai Selatan (SPS) – KK Bukit Panchor, KK Bandar Tasek Mutiara dan KK Sungai Acheh.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : SIEW CHIA EN