Ketua Menteri komited bantu, zahir penghargaan pasukan keselamatan kesan semula tahanan

GEORGE TOWN – Ketua Meteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow menzahirkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Pulau Pinang, Kedah dan Perak atas usaha pantas mengesan semula pendatang asing tanpa izin (PATI) yang dilaporkan meloloskan diri daripada tahanan di Depoh Imigresen Sementara Relau dekat Bandar Baharu, Kedah awal pagi tadi.

Saya berharap kes ini dapat diselesaikan secepat mungkin.

“Terima kasih juga kepada orang awam yang memberi kerjasama dalam usaha ‘memujuk’ tahanan supaya menyerah diri dan membawa mereka (tahanan) kembali ke depoh tahanan,” ujarnya pada sidang media di sini sebentar tadi.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Dr. Ahmad Jailani Muhamed Yunus; Exco Alam Sekitar dan Kebajikan, Phee Boon Poh; Exco Belia dan Sukan, Soon Lip Chee; Exco Pembangunan Sosial dan Hal Ehwal Bukan Islam, Chong Eng dan Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd. Suhaily Mohd. Zain.

Dalam pada itu, Mohd. Suhaily menyatakan bahawa susulan kejadian tersebut, sehingga tengah hari tadi, pihaknya telah berjaya menangkap enam lagi individu di kawasan Sungai Kerian dan dihantar semula ke depoh tahanan tersebut.

Pada pandangan saya, mereka (tahanan) yang melarikan diri ini bergerak secara berkumpulan menuju ke arah selatan dan berjalan kaki (berkaki ayam) hampir 10 kilometer dari depoh tahanan sementara sebelum ditangkap.

“(Dan) setelah hampir 12 jam kejadian berlaku, saya percaya saki-baki mereka yang melarikan diri akan berasa penat dan memerlukan bantuan orang ramai.

“Maka, saya meminta orang awam jangan mengambil tindakan sendiri dan menggunakan pendekatan untuk bertenang dan memujuk (tahanan) menyerah diri, sekiranya tidak yakin sila hubungi pihak polis demi keselamatan semua,” jelasnya.

Menurut Mohd. Suhaily, daripada maklumat yang diterima, seramai 664 individu ditahan di Depoh Tahanan Sementara Relau terdiri daripada 430 lelaki; perempuan (97); kanak-kanak lelaki(69) dan kanak-kanak perempuan (68).

“(Dan) daripada jumlah tersebut seramai 528 individu telah melarikan diri (294 lelaki; 97 perempuan; 69 kanak-kanak lelaki; 68 kanak-kanak perempuan) kira-kira jam 4:30 pagi tadi dan baki 136 individu kekal di depoh tahanan sementara.

“Sehingga jam 12 tengah hari tadi, seramai 357 individu telah berjaya ditahan semula dan 171 individu lagi masih lolos,” katanya yang bersedia membantu pihak berkuasa Kedah dan Perak memandangkan kedudukan depoh tahanan yang berada di sempadan ketiga-tiga negeri.

Tambah Mohd. Suhaily, tiga sekatan jalan raya (SJR) diadakan di sempadan Pulau Pinang iaitu di Jalan Sungai Baung, Sungai Bakap; Jalan Tasek Valdor, Simpang Ampat dan Jalan Kerian Kedah dalam usaha membantu mengesan saki-baki tahanan yang masih lolos.

Ditanya berhubung kemalangan yang melibatkan enam tahanan maut, beliau memberitahu bahawa pihaknya telah mengenal pasti sebuah kereta jenis Vios berwarna kelabu dan pemandu adalah dalam lingkungan 50-an.

Sebagai rekod, Depoh Tahanan Sementara Relau terletak di negeri Kedah yang mana pentadbirannya adalah di bawah Jabatan Imigresen Negeri Pulau Pinang.

Walau bagaimanapun, Pengarah Imigresen Negeri, Shah Inor Shahbudin tidak dapat bersama-sama dalam sidang media tersebut kerana mempunyai urusan lain di Putrajaya.

Difahamkan, pihak PDRM Kedah akan membuka kertas siasatan berhubung kejadian di Depoh Tahanan Sementara Relau di bawah Seksyen 223; Seksyen 224 dan Seksyen 147 Kanun Keseksaan.

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI

Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR

Video : LAW SUUN TING