Ketua Menteri puji keberanian Anwar, sifatkan RUU had tempoh 10 tahun Perdana Menteri perkukuh demokrasi

Admin
img 20260302 wa0025

KUALA LUMPUR – Prinsip had tempoh jawatan Perdana Menteri kepada maksimum 10 tahun merupakan satu pembaharuan institusi yang amat penting dalam memperkukuh demokrasi berparlimen negara, tegas Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Batu Kawan berkata bahawa langkah tersebut bukan sahaja dapat memperteguh semangat kebertanggungjawaban, malah juga memastikan proses peralihan kuasa berlaku secara teratur, sihat dan berlandaskan undang-undang.

Menurut Kon Yeow yang juga Ahli Parlimen Batu Kawan, pembaharuan itu adalah selari dengan langkah Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang menjadi negeri pertama dan satu-satunya dalam negara melaksanakan had tempoh lantikan Ketua Menteri kepada dua penggal, susulan pindaan Perkara 7 Fasal 2(a)(ii) Perlembagaan Negeri Pulau Pinang yang diluluskan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 16 November 2018.

“Langkah ini menzahirkan komitmen tegas (Kerajaan Negeri Pulau Pinang) terhadap agenda reformasi institusi demi memperkukuh ketelusan dan integriti dalam pentadbiran negeri,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2026 di Dewan Rakyat sebentar tadi.

img 20260302 wa0027img 20260302 wa0034

Walau bagaimanapun, Kon Yeow menjelaskan bahawa pelaksanaan di Pulau Pinang dibuat berdasarkan kiraan penggal dan bukan tempoh masa tertentu seperti 10 tahun sebagaimana dicadangkan dalam RUU di peringkat Persekutuan.

Katanya, pendekatan berdasarkan penggal mempunyai kekurangan dan perbezaan tersendiri sekiranya sesuatu penggal tidak mencapai tempoh penuh lima tahun.

“Contohnya, apabila Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN) terpaksa dibubarkan lebih awal untuk memberi laluan kepada pilihan raya, dan dalam keadaan sedemikian, tempoh sebenar pentadbiran boleh menjadi lebih singkat daripada yang dijangka.

“Oleh itu, pendekatan menetapkan tempoh 10 tahun adalah lebih jelas dan tidak menimbulkan kekaburan tafsiran kerana bersifat objektif serta tidak bergantung kepada kitaran pilihan raya atau percaturan politik,” ujar beliau.

Mengulas isu kesan undang-undang retrospektif atau berkuat kuasa ke belakang, Kon Yeow menyifatkan pembaharuan institusi memerlukan keberanian politik yang tinggi.

Beliau berkata, pindaan RUU Perlembagaan dengan mengambil kira tempoh perkhidmatan lalu mencerminkan keikhlasan Perdana Menteri, Dato’ Seri Utama Anwar Ibrahim dalam mendukung prinsip akauntabiliti dan reformasi institusi, walaupun langkah tersebut berpotensi memberi kesan kepada beliau sendiri.

“Pendekatan ini menunjukkan kesediaan Yang Amat Berhormat Tambun untuk meletakkan kepentingan negara dan keluhuran sistem perundangan mengatasi kepentingan peribadi, sekali gus memperkukuh keyakinan rakyat terhadap integriti proses demokrasi serta tadbir urus negara,” jelasnya.

Kon Yeow dalam pada itu turut menolak kebimbangan pihak pembangkang bahawa pindaan tersebut akan menjejaskan kuasa Yang Dipertuan Agong, sebaliknya berpendapat RUU berkaitan dapat memberikan garis panduan yang lebih jelas mengenai syarat pelantikan Perdana Menteri, selain keperluan memperoleh sokongan majoriti Ahli Dewan Rakyat.

Mengulas lanjut, Kon Yeow turut menzahirkan rasa bangga kerana berjaya menunaikan manifesto pembaharuan institusi di Pulau Pinang walaupun langkah itu mengehadkan tempoh pentadbiran beliau sendiri.

“Kepimpinan bukan tentang berapa lama kita duduk di kerusi kuasa, tetapi apa yang ditinggalkan apabila kita bangun daripadanya.

“Justeru, dengan sistem 10 tahun yang jelas dan keberanian kesan retrospektif ini, Batu Kawan yakin kita sebenarnya sedang membina sebuah institusi yang lebih kuat.

“Biarlah pindaan ini menjadi saksi bahawa di bumi Malaysia yang bertuah ini, prinsip mengatasi kepentingan peribadi dan mandat rakyat sentiasa menjadi keutamaan tertinggi,” ulasnya lanjut.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : MUHAMAD IQBAL HAMDAN
Video : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS