Ketua Menteri puji pembukuan kisah lagenda bola sepak negara Dato’ Shukor Salleh

Admin
TUN Ahmad Fuzi Abdul Razak (depan, tengah) menyampaikan plak penghargaan serta sumbangan peribadi kepada Shukor Salleh (depan, kanan) sambil disaksikan oleh Ketua Menteri (depan, kiri sekali) dan para tetamu utama lain di sini tadi.

GEORGE TOWN – Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang (TYT), Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak sendiri menyempurnakan majlis pelancaran buku lagenda bola sepak tersohor negara, ‘Dato’ Shukor Salleh – Jeneral Padang’ di sini sebentar tadi.

KETUA Menteri

Semasa berucap, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berharap sejarah tersendiri yang dicipta oleh Shukor akan turut membakar semangat para pemegang taruh dalam membangunkan sukan bola sepak negara dan negeri ini.

“Saya amat kagum dengan intipati buku ini yang sarat dengan pengkisahan realiti hidup dan jatuh bangun lagenda bola sepak (Shukor) yang suatu ketika dulu telah memberikan sumbangan yang cukup besar kepada pembangunan bola sepak Pulau Pinang dan Malaysia.

“Semoga dengan pengkisahan melalui terbitan buku sebegini, ia dapat menjadi perangsang dan meniup semangat juang yang tinggi kepada pemain serta pasukan bola sepak negeri Pulau Pinang khususnya untuk terus mencipta kejayaan dan seterusnya memartabatkan kehebatan bola sepak negeri serta negara,” jelasnya yang juga Exco Hal Ehwal Tanah & Ekonomi dan Komunikasi dalam majlis berkenaan.

Di samping itu, Kon Yeow turut memuji usaha pelbagai pihak terutama Kelab Bola Sepak Panthers United dan firma penerbit buku Syarikat Legasi Lagenda (M) Sdn. Bhd. yang berjaya membukukan kisah hidup serta sumbangan Shukor dalam arena sukan negara.

“Pulau Pinang amat bertuah kerana pertubuhan atau badan bukan kerajaan (NGO) yang ada di negeri ini cukup aktif dan sentiasa menyumbang serta memainkan peranan dalam memenuhi keperluan sosial rakyat.

“Penubuhan ini yang lazimnya tercetusnya berdasarkan minat, pengalaman, idea dan semangat perjuangan telah membawa keazaman yang tinggi dalam merealisasikan objektif penubuhan.

“Justeru, bagi pihak Kerajaan Negeri, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Kelab Bola Sepak Panthers United bersama-sama Syarikat Legasi Lagenda (M) Sdn. Bhd. atas inisiatif dan kolaborasi sehingga berjaya menerbitkan sebuah naskah yang cukup bermakna ini,” ujarnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Tanjong.

KETUA Menteri (depan, kiri) turut menerima senaskah buku Dato’ Shukor Salleh – Jeneral Padang daripada Tajuddin Zachariah (depan, kanan) sambil disaksikan oleh Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak (belakang, tengah), Soon Lip Chee (belakang, kiri) dan Koh Tsu Koon (belakang, kanan) di sini tadi.

Presiden Kelab Bola Sepak Panthers United, Tajuddin Dato’ Zachariah dan Pengarah Urusan Syarikat Legasi Lagenda (M) Sdn. Bhd., Zabidi Sultan turut berucap pada majlis tersebut.

Exco Belia dan Sukan, Soon Lip Chee; Exco Perdagangan & Industri dan Pembangunan Usahawan, Dato’ Abdul Halim Hussain dan Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon (bekas Ketua Menteri Pulau Pinang) antara tetamu yang hadir menyertai majlis pelancaran buku pengkisahan serta koleksi foto eksklusif berkenaan Shukor.

ANTARA bekas pemain bola sepak negeri yang hadir serta merakamkan gambar kenang-kenangan bersama Shukor Salleh, Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak serta Ketua Menteri pada akhir acara majlis pelancaran buku di sini tadi.

Shukur Salleh, 74, merupakan pemain tengah penting untuk pasukan bola sepak kebangsaan pada era 1970-an.

Digelar sebagai ‘Mr Cool’ kerana aksinya tenang di atas padang bola, Shukor pernah mendapat Anugerah Ahli Sukan Negara Malaysia pada tahun 1997, yang mana beliau merupakan individu kedua dan terakhir selepas Allahyarham Mokhtar Dahari diberi anugerah tersebut.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR
Video : CHAN KOK KUAN