Ketua Menteri sambut baik hasrat APM wujudkan CDERT di setiap KADUN

Admin

GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow menyambut baik hasrat Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Negeri Pulau Pinang untuk mewujudkan satu Civil Defence Emergency Response Team (CDERT) di setiap Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) di negeri ini.

Beliau menyatakan perkara tersebut semasa kunjungan hormat oleh Pengarah APM Pulau Pinang, Lt. Kol (PA) Cuthbert John Martin Quadra dekat Pejabat Ketua Menteri di Komtar, sebentar tadi.

Dalam pertemuan selama kira-kira 30 minit itu, Cuthbert mengesyorkan penubuhan CDERT melibatkan komuniti di setiap KADUN yang bertujuan melahirkan masyarakat bertanggungjawab dan sentiasa peka terhadap aspek keselamatan sekiranya berlaku bencana.

Beliau dalam pada itu turut memaklumkan bahawa sehingga kini seramai 102,795 individu dari kelima-lima daerah di negeri telah berdaftar sebagai sukarelawan di bawah agensi berkenaan.

“Pada masa ini, kita (APM Pulau Pinang) telah adakan latihan asas CDERT melalui kerjasama Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Sungai Pinang yang diketuai oleh YB Lim Siew Khim.

“Selain itu, kita juga telah melaksanakan latihan asas ini bersama-sama MPKK Datuk Keramat melibatkan pengurusan operasi banjir kerana di kawasan berkenaan sememangnya kerap berlaku banjir kilat.

“Justeru, sekiranya dipersetujui oleh Kerajaan Negeri, kita mahu wujudkan CDERT melibatkan komuniti ini melalui MPKK di setiap Parlimen dan KADUN supaya kerjasama yang sedia terjalin di antara APM dan Kerajaan Negeri dapat dieratkan lagi,” ujarnya.

Hadir sama, Timbalan Pengarah APM Pulau Pinang, Mejar (PA) Mohd. Huzaimi Raup; Penolong Pegawai Bahagian Pengurusan Bencana dan Operasi, Kapten (PA) C. Sehgar dan Pembantu Perhubungan Awam, Lt. (PA) Nurhayati Sobri.

Dalam pada itu, Kon Yeow turut menyatakan kesediaan untuk mewujudkan CDERT di KADUN yang diwakili beliau iaitu di Padang Kota.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : AHMAD ADIL MUHMAAD