Ketua Menteri seru meriahkan Sambutan Hari Malaysia 16 September ini

Admin
img 20250908 wa0046

GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow menyeru penduduk di negeri ini untuk hadir memeriahkan sambutan Hari Malaysia yang akan berlangsung dekat PICCA Convention Centre@Butterworth Arena pada 16 September ini.

Beliau berkata, sambutan peringkat kebangsaan yang julung kalinya diadakan di negeri Pulau Pinang itu mampu menjadi platform untuk membawa rakyat dari setiap negeri termasuk Sabah dan Sarawak dalam acara yang memaparkan kepelbagaian budaya.

“Paling penting, sambutan ini menyemai semangat perpaduan dalam kalangan rakyat dan pemimpin di negara ini.

“Mudah-mudahan dengan acara sedemikian, semangat perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia khususnya antara Semenanjung dan Sabah serta Sarawak dapat diperkukuhkan lagi,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas merasmikan majlis penutup pertandingan Pidato Penang2030 dekat Komtar di sini sebentar tadi.

Sementara itu, Timbalan Setiausaha (Pengurusan) Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Muhamad Ghopran Yeop Hamzah memaklumkan bahawa persiapan bagi Sambutan Hari Malaysia kini mencapai tahap 85 peratus.

Beliau turut menjangkakan bahawa seramai 6,000 pengunjung dari dalam dan luar negeri Pulau Pinang bakal memeriahkan sambutan tersebut.

“Dari segi pengisian, kita akan adakan raptai penuh sehari sebelum acara berlangsung, dan kita juga akan uar-uarkan sambutan ini melalui saluran radio dan televisyen.

“Kita akan adakan upacara menandatangani buku khas dan memotong kek pada hari tersebut selain mengadakan perarakan Bendera Malaysia,” ujarnya.

Terdahulu, Menteri Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil mengumumkan bahawa Pulau Pinang dipilih secara rasmi sebagai tuan rumah bagi penganjuran Sambutan Hari Malaysia peringkat kebangsaan pada tahun ini.

Sambutan yang akan bermula pada jam 8.30 malam itu akan dihadiri oleh Perdana Menteri, Premier Sarawak, Ketua Menteri Sabah dan Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : SITI NURATIKAH RAHMAT
Video : DARWINA MOHD. DAUD