Ketua Menteri tanding di Parlimen Batu Kawan pada PRU-15

GEORGE TOWN – Ketua Menteri Pulau Pinang, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow akan bertanding di kerusi Parlimen Batu Kawan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook berkata bahawa keputusan itu dicapai selepas penyandang kerusi itu, P. Kasthuriraani membuat keputusan untuk tidak bertanding pada PRU-15 selepas dua penggal menjadi wakil rakyat di Parlimen berkenaan.

“DAP Pusat dan jawatakuasa DAP Pulau Pinang membuat keputusan bahawa individu yang paling kuat dan paling layak untuk bertanding di kerusi Parlimen itu tidak lain tidak bukan ialah Ketua Menteri Pulau Pinang sendiri, saudara Chow Kon Yeow,” katanya ketika mengumumkan perkara itu dalam majlis pelancaran Konvoi HARAPAN DAP Pulau Pinang dekat Persiaran Karpal Singh di sini sebentar tadi.

DAP Pulau Pinang umum tujuh calon yang akan bertanding kerusi Parlimen pada PRU-15.

Kon Yeow yang juga Pengerusi DAP Pulau Pinang merupakan penyandang kerusi Parlimen Tanjong bermula tahun 1999 sehingga 2013 sebelum memberi laluan kepada Ng Wei Aik untuk menyandang kerusi tersebut pada PRU-13.

Walau bagaimanapun, Kon Yeow kembali mengambil semula kerusi Parlimen Tanjong pada PRU-14, dan juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota sejak tahun 2008.

Pada PRU-14, Kon Yeow menang di kerusi Parlimen Tanjong dengan majoriti 29,599 undi selepas memperoleh 34,663 undi menewaskan calon Barisan Nasional (BN) Ng Siew Lai yang mendapat 5,064 undi.

Dalam majlis sama, Siew Fook turut mengumumkan bahawa DAP Pulau Pinang menampilkan dua muka baru yang akan bertanding bagi kerusi Parlimen pada PRU kali ini.

Dua calon berkenaan adalah Senator Lim Hui Ying yang akan menggantikan Kon Yeow di Parlimen Tanjong dan Syeerlena Abdul Rashid yang kini ADUN Seri Delima akan menggantikan Wong Hon Wai di Parlimen Bukit Bendera.

Empat lagi calon yang diumumkan ialah penyandang yang memenangi kerusi Parlimen masing-masing pada PRU-14 iaitu R.S.N. Rayer (Jelutong); Ramkarpal Singh (Bukit Gelugor); Lim Guan Eng (Bagan) dan Steven Sim Chee Keong (Bukit Mertajam).