Ketua Menteri terima kunjungan hormat Presiden Majlis Senator Malaysia

GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow menerima kunjungan hormat daripada Presiden Majlis Senator Malaysia (MSM), Datuk Seri Khairudin Samad di pejabat beliau dekat Komtar sebentar tadi.

Pertemuan selama kira-kira 30 minit itu membincangkan pelbagai isu termasuk peranan Dewan Negara sebagai dewan perwakilan tertinggi dalam negara dan mempunyai pengaruh lebih besar dalam soal suatu Rang Undang-undang yang bertujuan membuat pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan.

Khairudin Samad ketika mengadakan perbincangan lanjut bersama Ketua Menteri.

Khairudin yang merupakan anak jati Pulau Pinang berkata bahawa fokus MSM ketika ini adalah untuk menghapuskan stigma sesetengah masyarakat yang menganggap Dewan Negara sebagai ‘rubber stamp’ semata-mata.

“Kita mahu beri maklumat kepada rakyat bahawa senator bukanlah ‘rubber stamp’ sebaliknya kita menjalankan fungsi-fungsi yang lebih penting berkaitan Rang Undang-undang negara.

“Selain itu, kita juga mahu memperkasakan lagi fungsi senator dan cuba membawa ahli Dewan Negara ke satu tahap lebih baik,” ujarnya.

Hadir sama, Penolong Bendahari MSM, Senator Lim Hui Ying.

Selain hal-hal berkaitan Dewan Negara, perbincangan tersebut juga menyentuh aspek perkembangan semasa khasnya isu politik serta sosial di negara ini.

Dalam pada itu, Kon Yeow mengalu-alukan hasrat MSM untuk mengadakan lawatan rasmi di negeri ini apabila situasi pandemik reda kelak.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD