Ketua Menteri ziarah keluarga Komander Muhammad Firdaus

Admin
img 20240425 wa0047

PANTAI JEREJAK – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow menziarahi keluarga pegawai Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Allahyarham Komander Muhammad Firdaus Ramli yang terkorban dalam tragedi helikopter terhempas di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut, Perak Selasa lalu.

Selain merakamkan ucapan takziah, beliau turut menyampaikan sedikit sumbangan bagi meringankan beban keluarga mangsa yang masih lagi bersedih dengan tragedi menyayat hati tersebut.

Bercakap kepada pemberita, Kon Yeow menzahirkan harapan agar siasatan berhubung punca sebenar kejadian kemalangan udara membabitkan dua helikopter itu dapat dilaksanakan dengan kadar segera.

img 20240425 wa0049

img 20240425 wa0050

img 20240425 wa0048

“Kerajaan Negeri Pulau Pinang merakamkan ucapan takziah atas kejadian menyedihkan yang telah mengorbankan 10 wira negara.

“Kita semua sedih atas kejadian yang berlaku, lebih-lebih lagi ahli keluarga, tetapi kita bersyukur kerana keluarga arwah dapat menerima keadaan ini dengan tenang.

“Namun, kita berharap agar pihak TLDM dan juga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan melaksanakan siasatan segera dan memaklumkan hasil siasatan tersebut supaya kita semua boleh menoktahkan punca kejadian ini,” katanya ketika ditemui dekat kediaman keluarga Allahyarham Muhammad Firdaus dekat Persiaran Jerejak 11, Sungai Nibong di sini sebentar tadi.

Ditanya mengenai bantuan lain yang mungkin akan disalurkan kepada keluarga Allahyarham Muhammad Firdaus, Kon Yeow menyatakan bahawa perkara itu akan dibincangkan pada peringkat kepimpinan Kerajaan Negeri.

Turut hadir, Panglima 2 Divisyen, Mejar Jeneral Dato’ Azhan Md. Othman; Panglima Wilayah Laut 3 TLDM, Laksamana Pertama Roslee Mohamad Isa; Pegawai Wakil TLDM, Leftenan Komander Muhamad Fadhil Samsuddin serta wakil daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN) Negeri Pulau Pinang.

Sementara itu, bapa Allahyarham Muhammad Firdaus, Ramli Abd Hamid, 68, melahirkan rasa terharu atas keprihatinan yang ditunjukkan Kon Yeow dan Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

img 20240425 wa0051
Ramli Abd Hamid.

“Terima kasih kepada Ketua Menteri kerana sudi menziarah dan berikan kata-kata semangat kepada kami.

“Kami tidak mengharapkan apa-apa sumbangan melainkan kata-kata semangat daripada semua,” ujarnya dengan penuh hiba.

Allahyarham Muhammad Firdaus, 44, Pegawai Memerintah Skuadron 503 TLDM, merupakan anak jati Pulau Pinang.

Beliau meninggalkan balu, Sofiyyah Sa’adon, 42, yang merupakan pegawai farmasi di Hospital Likas, Kota Kinabalu, Sabah dan seorang anak lelaki berusia empat tahun.

Terdahulu, jenazah Allahyarham Muhammad Firdaus selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Jamek Sungai Nibong Besar di sini selepas disolat dan diberi penghormatan terakhir mengikut istiadat rasmi di Kem 23 Rejimen Askar Melayu Diraja Ipoh, Perak pada kira-kira 6 petang Rabu.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : ALISSALA THIAN
Video : SIEW CHIA EN