Keutamaan KN sedia rumah mampu milik, sangkal laporan akhbar perdana

GEORGE TOWN – Sejumlah 3,396 unit rumah mampu milik telah ditawarkan kepada pemohon yang layak sepanjang tempoh enam bulan pertama tahun ini sekaligus menyangkal dakwaan sebuah artikel ‘Cheaper homes out of reach’ yang disiarkan sebuah akhbar perdana berbahasa Inggeris pada 12 Julai lalu.

Exco Perancangan Bandar & Desa dan Perumahan, Jagdeep Singh Deo berkata, dakwaan yang dibuat menerusi akhbar berkenaan bukan sahaja tidak tepat, malah tidak adil kepada para pemohon yang layak.

“Dakwaan seperti itu tidak betul dan langsung tidak mencerminkan kedudukan sebenar Kerajaan Negeri yang selama ini memperjuangkan keutamaan menyediakan rumah mampu milik kepada rakyat Pulau Pinang yang layak.

“Ia amat dikesali apabila media arus perdana yang dilabelkan sebagai ‘akhbar rakyat’ ini mencetak berita yang tidak betul dan tanpa berunding dengan mana-mana pihak berkaitan.

“Dapatkan fakta yang tepat dan bukannya melaporkan sesuatu yang tidak relevan,” tegas Jagdeep pada sidang media di sini baru-baru ini.

Turut sama, Ahli Jawatankuasa Pembersihan Proses Perolehan Perumahan (SPEC), Phee Boon Poh yang juga Exco Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar dan Dr. T. Jayabalan (Ahli Dewan Undangan Negeri, ADUN Batu Uban).

Jelas Jagdeep, artikel tersebut merujuk pada satu projek di Sungai Ara yang dibangunkan oleh pemaju, Asia Green iaitu Arasia Perdana (The Clover).

Tambah beliau, laporan artikel tersebut melaporkan bahawa pemaju tersebut gagal mematuhi dasar perumahan ditetapkan Kerajaan Negeri iaitu dengan binaan hanya 699 hingga 728 kaki persegi dengan harga RM200,000 berbanding 750 kaki persegi sebagaimana ditetapkan Kerajaan Negeri.

“Artikel tersebut tidak berasas kerana kita (Kerajaan Negeri) sentiasa komited dalam memastikan jaminan kualiti tinggi mengikut garis panduan perumahan yang telah ditetapkan sejak Ogos 2014 termasuk kawalan saiz dan harga,” ujarnya.

Tambah Jagdeep, Kerajaan Negeri telah menetapkan harga mengikut saiz iaitu 750 kaki persegi ditawarkan pada harga RM200,000, 850 kaki persegi (RM300,000) dan 900 kaki persegi (RM400,000) untuk unit di bahagian pulau.

“Bagi Seberang Perai, harga adalah bermula pada RM150,000 bagi 750 kaki persegi, 850 kaki persegi (RM200,000) dan 900 kaki persegi (RM250,000).

“Malah, kita (Kerajaan Negeri) juga menetapkan pemohon yang belum pernah memiliki hartanah akan diberi keutamaan mengikut takat pendapatan iaitu jumlah pendapatan isi rumah sama ada RM6,000, RM8,000 atau RM10,000 bagi permohonan harga rumah RM200,000, RM300,000 dan RM400,000 masing-masing,” jelasnya.

Mengulas lanjut, Jagdeep berkata sejumlah 3,396 unit dari 4,837 unit rumah mampu milik kini telahpun ditawarkan kepada pemohon yang layak dan bakinya masih dalam proses pemilihan di bawah SPEC.

“Jelas, dakwaan tersebut bukan sahaja tidak betul dan tidak bertanggungjawab, tetapi juga tidak adil kepada pemohon yang layak di Pulau Pinang,” tegas beliau sekali lagi.

} else {