Keyakinan, sikap optimistik pelabur bantu ‘suburkan’ ekonomi P. Pinang – Kah Choon

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI

GEORGE TOWN – Sejak 45 tahun lalu, sektor elektrik dan elektronik (E&E) di negeri Pulau Pinang mengalami pertumbuhan dan perubahan struktur yang memberangsangkan.

Pengarah investPenang (iP), Datuk Lee Kah Choon berkata, perubahan yang dimaksudkan adalah dari industri berkapasiti rendah serta berintensifkan buruh ke aras baharu iaitu melibatkan penyelidikan dan pembangunan (R&D), pembangunan reka bentuk (D&D) dan Global Business Services (GBS).

“Sebagai contoh, syarikat pembuatan perisian komputer Dell telah mengubah aktivitinya dari pembuatan komputer meja (dekstop computer) ke GBS dan pembuatan pelayan (server) aras tinggi.

“Begitu juga Intel (Penang) dari pembuatan berkapasiti rendah ke R&D dan D&D dalam penghasilan telefon pintar serta tablet mudah alih.

“Ia termasuk perubahan trend semasa, di mana permintaan terhadap telefon pintar dijangka mencatat 1.7 bilion unit seluruh dunia, iaitu bersamaan 70.4 peratus sambungan peranti pintar sedia ada,” katanya pada sesi perkongsian Penang Economic Transformation di pejabat iP, Bayan Lepas baru-baru ini.

Menurut Kah Choon, kebanyakan syarikat atau industri di Pulau Pinang telah melaksanakan transformasi sesuai dengan peredaran masa. Namun, jelas beliau, dua pemain industri utama di Pulau Pinang, iaitu industri pembuatan dan perkhidmatan masih lagi kekal sebagai penyumbang utama ekonomi negeri.

“Walaupun perubahan demi perubahan terjadi, penggabungan dan pengambilalihan beberapa syarikat bertaraf multinasional (MNC) terkemuka dunia di Pulau Pinang telah menggalakkan peningkatan pengeluaran dan produktiviti.

“Antaranya, penggabungan AMD dan Nantong Fujitsu Microelectronic Co. (NFME) menjana kira-kira $320 juta infusi tunai.

“Begitu juga syarikat-syarikat MNC lain seperti Western Digital (WD) dan Sandisk, Avago dan Broadcom, Sanmina Corporation dan Motorola Solutions’, Intel dan Altera serta Canon dan Toshiba.

“Semuanya membawa pulangan yang memberangsangkan terhadap industri dan pembangunan ekonomi negeri ini.

“Ditambah dengan keyakinan dan sikap optimistik pelabur bahawa kelebihan sedia ada di Pulau Pinang termasuk teknologi, perkhidmatan, logistik, modal insan berkemahiran tinggi dan jaringan perniagaan, mampu memacu ekonomi negeri sekaligus mencatat pertumbuhan yang lebih rancak walaupun dalam keadaan ekonomi tidak menentu,” ujarnya.

Tambah Kah Choon, walaupun Pulau Pinang menjadi tumpuan syarikat-syarikat MNC terkemuka, Pulau Pinang juga mempunyai banyak syarikat-syarikat tempatan yang turut menyumbang kepada pertumbuhan dan pengukuhan ekonomi negeri.

“Terdapat lebih 3,000 syarikat tempatan yang wujud dalam ‘ekosistem’ yang turut membantu menyokong ekonomi Pulau Pinang,” jelasnya yang yakin bahawa ekonomi negeri berada dalam keadaan baik sungguhpun berlaku kelembapan ekonomi dan kejatuhan nilai ringgit di pasaran dunia kini.