BERTAM – Usaha mengurangkan pencemaran alam sekitar boleh bermula dengan amalan mudah dalam kehidupan seharian, termasuk mengitar semula beg plastik beras yang sering dibuang selepas digunakan.
Inisiatif itu diterjemahkan menerusi Program Kitar Semula Beg Plastik Beras anjuran bersama Jasmine Food Corporation Sdn. Bhd. dan Pasaraya Mydin Bertam yang berlangsung di Mydin Mall Bertam semalam, sekali gus menggalakkan masyarakat mengamalkan budaya kitar semula melalui pendekatan pemberian insentif.
Whip Ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Zainuddin Mohamed berkata, program berkenaan bukan sahaja meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan pengurusan sisa, malah menyokong aspirasi MBSP untuk membangunkan persekitaran bandar yang lebih hijau dan mampan.
Menurutnya, penganjuran program terdahulu di Pasaraya Billion Seberang Jaya berjaya mengumpulkan sebanyak 310 beg plastik beras, membuktikan bahawa pendekatan seumpama itu mampu menggalakkan penyertaan masyarakat dalam usaha pemeliharaan alam sekitar.
“Beg plastik yang dikumpulkan akan disalurkan kepada Pertubuhan Penduduk Kepala Gajah untuk diproses menjadi produk guna semula, sekali gus memberikan nilai baharu kepada bahan yang sebelum ini dianggap sebagai sisa.
“Kita berharap program seperti ini dapat diteruskan dan diperluaskan dengan penglibatan lebih ramai penduduk, khususnya melalui amalan menyimpan beg plastik beras kosong untuk dikitar semula,” katanya.
Turut hadir ialah Pengurus Jualan SMI North, Jasmine Food Corporation Sdn. Bhd., Tan Chin Hwa; Pengurus Cawangan (3) Pasar Raya Mydin Bertam, Muhammad Saad; Ahli-Ahli Majlis bagi MBSP, wakil syarikat, pegawai kanan dan kakitangan MBSP.

Sementara itu, Chin Hwa berkata bahawa pihak syarikat amat menghargai kerjasama masyarakat, peruncit dan pemain industri dalam menjayakan inisiatif berkenaan.
Beliau berkata, komitmen tersebut mencerminkan kesungguhan Jasmine Food Corporation dalam menyokong agenda penjagaan alam sekitar serta menggalakkan pelaksanaan ekonomi kitaran yang lebih mampan.
Sebagai tanda sokongan, katanya, syarikat berkenaan menyumbangkan sebanyak 500 kilogram beras untuk diagihkan kepada pengunjung yang menyertai program tersebut.
Menerusi inisiatif itu, setiap pengunjung yang membawa beg plastik beras kosong bersaiz lima atau 10 kilogram untuk dikitar semula akan menerima satu pek beras Jasmine seberat satu kilogram secara percuma.
Penebusan bagaimanapun dihadkan kepada 500 orang pertama dengan setiap individu layak menerima satu pek beras sahaja.



Teks & Gambar : SUNARTI YUSOFF