KN serah memorandum jerebu kepada Konsulat Indonesia

PULAU TIKUS – Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri pada 21 Oktober lalu memutuskan supaya satu memorandum diserahkan kepada Konsulat Jenderal Indonesia di sini berhubung gejala jerebu yang melanda negara khususnya negeri Pulau Pinang.

Pada majlis penyerahan, Kerajaan Negeri diwakili Exco Pertanian dan Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin, Exco Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar, Phee Boon Poh dan Exco Pembangunan Pelancongan, Danny Law Heng Kiang.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Tikus, Yap Soo Huey dan ADUN Kebun Bunga, Cheah Kah Peng.

Memorandum tersebut diterima Pegawai Perhubungan Korporat Konsulat Jenderal Indonesia di Pulau Pinang, Sofiana Mufidah.

Afif berkata, Kerajaan Negeri sentiasa menghargai hubungan baik antara kedua-dua negara khususnya Pulau Pinang dan ia (hubungan) tidak seharusnya dicemari dengan permasalahan seperti jerebu.

“Kami menghormati hak dan kedaulatan Indonesia, namun, kami (Kerajaan Negeri) menggesa Kerajaan Indonesia supaya menjunjung prinsip ke-21 sebagaimana termaktub dalam pengisytiharan Stockholm yang mana perlu memastikan aktiviti yang berlaku di dalam sempadan dan kawalan negara masing-masing adalah tidak mengakibatkan kerosakan kepada alam sekitar sesebuah negara lain atau melangkaui sempadan.

“Atas sebab ini, Kerajaan Negeri mendesak Presiden Indonesia, Joko Widodo dan pemerintah Republik Indonesia supaya mengambil tindakan tegas dan proaktif berhubung isu jerebu.

“Satu penyelesaian jangka panjang mesti diperkenalkan dalam menangani amalan pembakaran hutan untuk tujuan pertanian pada setiap tahun,” katanya ketika membacakan memorandum yang diserahkan di sini baru-baru ini.

Dalam pada itu, Sofiana menyatakan bahawa beliau bagi pihak kerajaannya amat menghargai bantuan yang dihulurkan negara-negara serantau dalam membantu memadamkan kebakaran berkaitan.

“Setiap hari, pemerintah Indonesia berusaha keras memadamkan kebakaran bersama-sama bantuan negara-negara jiran.

“Kami (Kerajaan Republik Indonesia) juga berjanji tindakan tegas akan dikenakan terhadap pesalah-pesalah yang didapati mengakibatkan kebakaran hutan di Indonesia secara besar-besaran hingga memberi kesan kepada negara-negara lain,” ujar beliau.

document.currentScript.parentNode.insertBefore(s, document.currentScript);