Kolaborasi APM dan pelbagai agensi perlu dalam hadapi bencana

Admin

GORGE TOWN – Kolaborasi di antara Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan pelbagai agensi kerajaan sangat diperlukan dalam menghadapi bencana yang sering berlaku di negara ini.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow berkata bahawa walaupun Malaysia bukan berada dalam zon gempa bumi atau ribut taufan, namun kejadian bencana seperti banjir besar masih tetap berlaku dari semasa ke semasa.

Demonstrasi menyelamat oleh pasukan APM susulan kejadian gemba bumi yang berlaku di Turkiye baru-baru ini.

“Dengan perubahan iklim, Malaysia juga terdedah kepada musibah banjir dengan lebih kerap dan lebih serius.

“Dengan adanya pasukan penyelamat seperti APM serta lain-lain agensi termasuk penglibatan komuniti, maka kita dapat mewujudkan satu protokol penggemblengan aset dan tenaga apabila berlakunya bencana.

“APM sebagai agensi utama memainkan fungsi penting ini bersama-sama dengan pelbagai agensi lain yang diperlukan berdasarkan jenis serta bentuk keseriusan bencana.

Ketua Menteri ketika melancarkan Kampung Siaga 211 sempena majlis penutup Karnival APM 2023 di sini sebentar tadi.

“Sebab itu, saya tegaskan bahawa Kerajaan Negeri, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Pejabat Daerah dan Tanah akan bersama-sama dengan APM sebagai satu sumber untuk dikerahkan apabila berlakunya bencana di negeri ini,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Kampung Siaga 221 sempena majlis penutup Karnival Pertahanan Awam 2023 dekat Padang Kota Lama di sini sebentar tadi.

Turut hadir, Exco Alam Sekitar dan Kebajikan, Phee Boon Poh; Timbalan Setiausaha (Pengurusan) Kerajaan Negeri, Dato’ Ahmad Rizal Mohd. Hanapiah; beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN); Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Dato’ Ar. Yew Tung Seang; Penolong Pesuruhjaya Pertahanan Awam, Yusoff Samad serta Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Negeri Pulau Pinang, YS. Kol. (PA) Ishak Mohd. Radzi.

Melalui beberapa gerai pameran milik APM.

Justeru, Kon Yeow menyatakan bahawa sambutan bulan APM pada Mac setiap tahun merupakan satu pendedahan penting kepada masyarakat mengenai peranan agensi penyelamat itu ketika berlakunya bencana.

“Malah, komuniti juga turut dilibatkan dengan tertubuhnya Pasukan Sukarelawan Tindak Balas Kecemasan Pertahanan Awam (CDERT) di kebanyakan Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN).

“Ramai ADUN penyokong penubuhan CDERT di KADUN masing-masing khususnya di kawasan yang selalu mengalami kejadian bencana,” ulasnya yang juga ADUN Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Batu Kawan.

Bersama-sama ahli Lion Club.

Dalam pada itu, Ishak menjelaskan bahawa di Pulau pinang, sebanyak tujuh buah kampung merangkumi kesemua lima daerah telah dipilih sebagai Kampung Siaga 221.

“Tujuan kita (APM) mewujudkan Kampung Siaga 211 adalah kerana kita mahu libatkan masyarakat setempat bersama-sama Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) dan penghulu terutamanya di kawasan-kawasan ‘hotspot’ bencana banjir serta kes-kes kecemasan lain.

“Kita sudah pun pilih kampung-kampung tertentu sebagai Kampung Siaga 211 dan peringkat seterusnya adalah kita akan berikan latihan pertahanan awam kepada seluruh penduduk kampung dari pelbagai peringkat umur.

“Perancangan awal adalah kita mahu tubuhkan satu atau dua sahaja tetapi disebabkan adanya banyak permintaan daripada ADUN kawasan, maka kita tubuhkan sebanyak tujuh kampung di setiap daerah di negeri ini,” katanya.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : SIEW CHIA EN
Video : SITI NURATIKAH RAHMAT