GEORGE TOWN – Kompaun kesalahan meletakkan kenderaan di luar petak yang dikeluarkan menerusi sistem Pengecaman Plat Nombor Automatik (ANPR) di Pulau Pinang akan dibatalkan, dengan tuntutan bayaran balik bagi kompaun yang telah dijelaskan dibuka sehingga 30 September 2026.
Exco Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jason H’ng Mooi Lye, berkata, keputusan itu dibuat bagi memastikan tiada pertikaian berhubung penguatkuasaan kesalahan berkenaan menerusi sistem ANPR.
“Bagi kesalahan meletak kenderaan di luar petak pada masa akan datang, tindakan penguatkuasaan akan dilaksanakan secara manual oleh pegawai penguat kuasa PBT di lapangan, berdasarkan pemerhatian dan keadaan sebenar,” ujarnya dalam satu sidang media di Komtar di sini, petang tadi.
Walau bagaimanapun, beliau berkata bahawa tindakan tersebut tidak terpakai bagi kesalahan di kawasan larangan meletak kenderaan, larangan berhenti atau kenderaan yang menyebabkan halangan.
Tambahnya, bagi pengguna yang telah membayar kompaun kesalahan meletak kenderaan di luar petak yang dikeluarkan melalui ANPR, tuntutan bayaran balik boleh dibuat kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) iaitu Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) atau Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) sehingga tarikh tersebut.
“Bagi tuntutan di MBPP, pemohon perlu mengemukakan resit bayaran kompaun dan salinan penyata bank di kaunter penerimaan dokumen tuntutan bayaran balik di Tingkat 3, Komtar atau secara dalam talian melalui e-mel [email protected].
“Manakala bagi tuntutan di MBSP, dokumen sama boleh dikemukakan di Direktorat Penguatkuasaan, MBSP, Tingkat 1, Pejabat Cawangan Jalan Betek, dekat Bukit Mertajam ataupun melalui e-mel [email protected].
“Bagi pembayaran kompaun yang dibuat melalui aplikasi Penang Smart Parking (PSP), bayaran balik akan diproses secara automatik ke dalam akaun dompet (wallet) PSP pengguna,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jawi.
Dalam pada itu, Mooi Lye memberitahu, pengguna yang menerima kompaun kerana tidak membuat bayaran parkir, tetapi sebenarnya telah membuat bayaran dalam tempoh 10 minit daripada masa kompaun dikeluarkan, turut boleh mengemukakan rayuan kepada kedua-dua PBT.
“Pengguna boleh mengemukakan rayuan kepada kedua-dua PBT untuk pembatalan kompaun dan bayaran balik sekiranya kompaun tersebut telah dibayar.
“Dalam isu ini, Kerajaan Negeri akan terus memastikan suara dan keperluan rakyat Pulau Pinang pada peringkat akar umbi terus menjadi teras bagi memastikan segala usaha serta perkhidmatan kepada rakyat dilaksanakan dengan lebih baik,” katanya.