Kompaun RM100 guna pelekat kenderaan OKU palsu

PADANG LALANG – Mereka yang menggunakan pelekat kenderaan orang kurang upaya (OKU) palsu akan berdepan tindakan penguatkuasaan, termasuk kompaun tanpa diskaun RM100 dari Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP).

Ahli Majlis MPSP, Dr. Tiun Ling Ta memberitahu, pelekat kenderaan berlogo MPSP, Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Kerajaan Negeri Selangor serta yang dikeluarkan Persatuan Orang Cacat Anggota Malaysia (POCAM) sahaja diiktiraf sah di negeri ini.

“Sesetengah sanggup membeli pelekat OKU palsu, untuk kenderaan yang bukan dimiliki oleh OKU atau penjaga (OKU) yang sebenar.

“Kerana POCAM tidak menghadkan pembelian pelekat OKU dan MPSP tidak mahu penyalahgunaan pelekat kenderaan yang dikeluarkan oleh persatuan itu, mereka yang menggunakan parkir khas wajib mempamerkan kad OKU dari dalam kereta untuk mengelak risiko saman.

“Direktorat (Penguatkuasa MPSP) akan dilatih untuk mengenalpasti pelekat sah dan pelekat (palsu) yang dibeli,” jelasnya pada sidang media di sini baru-baru ini.

Ahli Majlis MPSP lain, Heng Yeh Shiuan serta Bee Eu Tan (wakil firma perunding jurutera bangunan khas OKU) turut sertai sidang media itu.

Dalam perkembangan berkaitan, Ling Ta memberitahu, pihaknya sedang berunding dengan pemilik tapak parkir persendirian seperti pemilik pasar raya TESCO dan AEON, supaya turut mencegah penyalahgunaan parkir OKU sebagaimana dikuatkuasakan MPSP kini.

“Penguatkuasaan MPSP sendiri sebenarnya terbatas kepada parkir awam sahaja, tidak parkir persendirian seperti di pasar raya.

“Kita (MPSP) sedang pertimbang untuk memasukkan perkara menguatkuasakan parkir OKU ini dalam syarat permohonan bagi lesen (premis komersial), sekiranya penyalahgunaan parkir OKU di kawasankawasan yang dikenalpasti masih berlaku,” katanya.

Di Pulau Pinang, terdapat kira-kira 32,000 OKU berdaftar, tetapi sejumlah 721 pelekat kenderaan OKU sah sahaja dikeluarkan.

Mengulas lanjut, Ling Ta memberitahu, 379 pelekat kenderaan dikeluarkan untuk pemandu OKU, manakala penjaga OKU (342).

“Di bahagian Seberang Perai, MPSP menyediakan 59 petak parkir khas untuk OKU demi mewujudkan sebuah masyarakat yang lebih inklusif.

“Berbanding dengan (722) jumlah pelekat kenderaan yang dikeluarkan, tempat letak kereta OKU yang disediakan hanya 8.17 peratus sahaja.

“(Bilangan parkir OKU) ini amat terhad dan lebih teruk lagi apabila ia disalahgunakan,” ujar beliau.

}