Kompleks Sukan dan Rekreasi Sony bakal dinaik taraf demi manfaat masyarakat setempat – Exco

Admin
img 20250227 wa0054

GEORGE TOWN – Majlis pecah tanah bagi projek pembangunan Kompleks Sukan serta Kompleks Sukan dan Rekreasi Sony, Seberang Jaya bakal diadakan pada 2 Mac 2025.

 

 

Exco Sukan dan Kesihatan, Daniel Gooi Zi Sen berkata, kerja awalan bagi projek berkaitan dijangka bermula pada Mac ini dan akan siap dalam tempoh masa satu tahun.

 

 

Panggilan tender bagi cadangan pembangunan Kompleks Sukan serta Kompleks Sukan dan Rekreasi Sony telah diiklankan pada 3 November 2022 dan tutup pada 16 Januari 2023.

 

 

“Projek ini kemudiannya ditawarkan kepada Syarikat Sportizza Sdn. Bhd. pada 10 Julai 2023 bagi tujuan menyelenggara sepanjang tiga puluh tahun selepas dipertimbangkan dan diluluskan pada peringkat Lembaga Perolehan Kerajaan Negeri pada 23 Jun 2023.

 

 

“Projek usahasama antara Perbadanan Stadium dan kawasan Lapang Pulau Pinang (PSDKLPP); Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) dan pihak swasta iaitu Syarikat Sportizza Sdn. Bhd. dapat memberi impak yang positif kepada masyarakat setempat serta atlet sukan yang menggunakan fasiliti tersebut,” ujarnya.

 

img 20250227 wa0064
DANIEL Gooi Zi Sen.

 

Beliau berkata demikian pada sidang media usai Majlis Menandatangani Perjanjian Projek Pembangunan Kompleks Sukan dan Rekreasi Sony yang diadakan di Komtar pada 27 Februari 2025.

 

 

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Jermal merangkap Ahli Lembaga PSDKLPP, Chee Yeeh Keen; Datuk Bandar MBSP, Dato’ Baderul Amin Abdul Hamid; Setiausaha Bandaraya MBSP, Mohd. Ibrahim Md Nor; Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Pulau Pinang, Mozakir Buyong Mokhtar; Pengarah Eksekutif PSDKLPP, Rashidah Jalaludin serta wakil daripada Syarikat Sportizza Sdn. Bhd.

 

 

Mengulas lanjut, Daniel memberitahu bahawa antara kerja-kerja menaik taraf yang terlibat adalah membina bangunan baharu berbumbung; gelanggang futsal beserta tempat dudukk; gelanggang badminton, padang bola; bilik persalinan; surau; pro-shop; kedai makan; bilik mesyuarat; tandas dan pejabat.

 

 

“Syarikat Sportizza (Sdn. Bhd.) akan menyiapkan padang bola terlebih dahulu bagi membolehkan masyarakat setempat dapat menikmati fasiliti sukan yang baharu.

 

 

“Oleh itu, bagi pihak Kerajaan Negeri, saya ingin memohon kerjasama semua pihak untuk sama-sama mengharumkan nama Pulau Pinang dan memberi peluang kepada masyarakat setempat menikmati fasiliti tersebut,” katanya.

 

img 20250227 wa0058
DANIEL Gooi Zi Sen (duduk, dua dari kanan) bersama-sama Baderul Amin Abdul Hamid (duduk, dua dari kiri) menandatangani perjanjian projek di sini.

 

Difahamkan, cadangan projek pembangunan tersebut adalah bertujuan menyediakan fasiliti sukan yang lebih baik kepada masyarakat dan sebahagian usaha menggalakkan pembangunan sukan di Pulau Pinang.

 

 

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : ALISSALA THIAN