Kon Yeow harap projek pembesaran ’empangan strategik’ Mengkuang siap segera

Admin

PENANTI – Kerajaan Negeri Pakatan Harapan Pulau Pinang berharap baki komponen Projek Pembesaran Empangan Mengkuang (MDEP) dapat disiapkan secepat mungkin, dengan kolaborasi antara Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PABPP) dan Kerajaan Persekutuan.

Demikian kata Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow Yeow yang juga Pengerusi PBAPP ketika mengadakan lawatan khas ke ’empangan strategik’ tersebut pada 25 Jun 2020 di sini.

“Empangan Mengkuang adalah empangan penting serta strategik untuk rangkaian bekalan air Pulau Pinang, dan Pihak Berkuasa Air Pulau Pinang bekerjasama rapat dengan agensi Persekutuan berkaitan untuk mencapai objektif ini.

“Kami (Kerajaan Negeri) berharap bahawa baki komponen projek pembesaran Empangan Mengkuang dapat disiapkan secepat mungkin agar kami (Kerajaan Negeri) dapat memastikan keselamatan bekalan air di Negeri ini,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Tanjong bersempena lawatan berkaitan.

Exco Kerja Raya, Utiliti dan Tebatan Banjir; Zairil Khir Johari; Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan, Dr. Norlela Ariffin merangkap ADUN Penanti; ADUN Berapit, Heng Lee Lee; Ahli Parlimen Permatang Pauh merangkap ADUN Angkat Seberang Jaya, Nurul Izzah Anwar dan Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong turut sertai lawatan kerja meninjau paras air semasa di ’empangan strategik’ tersebut.

Turut serta, Ketua Pegawai Eksekutif PBAPP, Dato’ Ir. Jaseni Maidinsa; Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSPP), Dato’ Sr. Rozali Mohamud serta beberapa Ahli Majlis bagi pihak berkuasa tempatan (PBT) berkenaan.

Dalam perkembangan lain, Kon Yeow turut menyatakan hasrat untuk membuka semula bahagian tertentu empangan tersebut bagi tujuan rekreasi awam.

“Kami (Pihak Berkuasa Negeri) mencadangkan untuk membuka semula bahagian empangan untuk tujuan rekreasi dan kami berharap Kementerian akan menyetujuinya,” ulasnya.

Terdahulu, Jaseni menyatakan bahawa Empangan Mengkuang merupakan satu-satunya ’empangan strategik’ yang ada di tanah air ini.

Bercakap kepada pemberita pada 16 Februari lalu, menurut beliau, ’empangan strategik’ tersebut berfungsi untuk mengumpulkan lambakan air ketika musim hujan supaya tidak dibazirkan mengalir ke laut bagi dimanfaatkan ketika musim kemarau panjang di negeri ini.

Dengan adanya ’empangan strategik’ berkaitan, tambah Jaseni, ia menjadikan Pulau Pinang sebagai satu-satunya negeri yang berjaya mengelak langkah catuan air ketika musim kemarau panjang sejak tahun 2008.

Malah, Jaseni dalam kenyataan bertulis pada hari ini antara lain memberitahu bahawa kerja-kerja tertunggak yang masih menunggu Kerajaan Persekutuan untuk disiapkan adalah meliputi Fasa 2B iaitu pemasangan saluran pair sepanjang 7 kilometer (km) dari Rumah Pam Mak Sulong ke Terusan Sungai Dua.

“Selain itu, ia juga melibatkan Fasa 2C iaitu pembinaan Stesen Pam Lahar Yooi 440 juta liter sehari (MLD).

“Walaupun begitu, PBAPP telah menasihati Kerajaan Negeri Pulau Pinang untuk menerima penyerahan Empangan Mengkuang secara bersyarat, iaitu jika Kerajaan Persekutuan mengesahkan komitmennya untuk menyelesaikan dan memulakan operasi Fasa 2B dan 2C MDEP.

“Empangan telah diperbesarkan… bagaimanapun, pembesaran empangan mewakili hanya 1 daripada 4 fasa utama MDEP yang berfungsi.

“Tanpa pengoperasian baki 2 fasa, MDEP tidak dapat berfungsi sepenuhnya sebagai penyelesaian strategik kemarau Pulau Pinang,” ujarnya.

Difahamkan, Fasa 1 Pembesaran Empangan Mengkuang dengan kos RM607 juta siap pada 10 April 2017.

Fasa 2A Menaik taraf Rumah Pam Mak Sulong dengan kos RM63.5 juta pula siap pada 28 Julai 2019.

Sehingga kini, Fasa 2B melibatkan pemasangan saluran paip keluli lembut berdiameter 1.6 meter (m) sepanjang 7 km dari Rumah Pam Mak Sulong dengan anggaran kos RM100 juta masih tertinggal, walaupun Kerajaan Persekutuan ketika mesyuarat pada 2 April 2018 telahpun bersetuju untuk melaksanakan fasa ini.

Turut tertunggak, Fasa 2C Pembinaan Rumah Pam Lahar Yooi 440 MLD dengan anggaran RM80 juta, sungguhpun Kerajaan Persekutuan dalam mesyuarat pada 2 April 2020, turut bersetuju untuk melaksanakan fasa tersebut.

“Selain itu, dalam mesyuarat pada 2 April 2018 Kerajaan Persekutuan telah bersetuju untuk membina baraj baharu RM100 juta sepanjang Sungai Muda di Rantau Panjang.

“Baraj baharu ini akan menggantikan baraj berusia 47 tahun sedia ada dan tujuannya adalah untuk mencegah kemasukkan air laut serta membantu mengekalkan paras air sungai yang optimum semasa musim kemarau,” jelasnya.

Di samping itu, Jaseni turut menyatakan bahawa sehingga 24 Jun 2020, kapasiti efektif Empangan Mengkuang adalah 84.5 peratus.

“Simpanan efektif adalah 67,654 juta liter air,” ulasnya.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD
Video : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS