Kon Yeow komited kembangkan aktiviti Pengakap Negeri babit hampir 13,000 anggota

Admin

GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa pentadbirannya akan terus memberi kerjasama dalam usaha mengembangkan aktiviti kebajikan pertubuhan seragam, Persekutuan Pengakap Malaysia (PPM) Pulau Pinang yang melibatkan kira-kira 13,000 anggota.

“Ada beberapa berbangkit telah dibawa oleh pengurusan tertinggi (PPM Pulau Pinang) terutama mengenai tapak perkhemahan bagi membolehkan aktiviti-aktiviti pengakap dijalankan dengan teratur dan lebih tersusun.

“Kerajaan Negeri tidak mempunyai sebarang halangan, dan saya percaya perkara ini telah diteliti dan kini berada pada peringkat akhir perbincangan.

“Kerajaan Negeri mengalukan-alukan cadangan dan akan terus memberi kerjasama kepada pihak berkaitan untuk sebarang penambahbaikan demi keperluan serta kepentingan hampir 13,000 ahli pengakap di negeri ini,” jelasnya yang juga Yang di-Pertua Majlis Pengakap Negeri Pulau Pinang di sini pada 8 Disember 2019.

Pada majlis berkaitan, Yang di-Pertua Negeri (TYT), Tun Dr. Abdul Rahman Abbas menyampaikan bintang, pingat dan sijil ‘Pengakap Raja’ Persekutuan Pengakap Malaysia (PPM) Pulau Pinang kepada 206 anggota termasuk 16 pengakap remaja.

Exco Belia & Sukan, Soon Lip Chee; Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negara, Mejar Jeneral (Bersara) Prof. Datuk Dr. Mohd. Zin Bidi; Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negeri, Zulkafli Kamaruddin dan Pengerusi Majlis Pengakap Negeri, Lee Toong Leon turut sertai Majlis Istiadat Penganugerahan Bintang, Pingat dan Sijil ‘Pengakap Raja’ di sini tadi.

Menurut Kon Yeow, semua penerima pangkat, pingat dan sijil ‘Pengakap Diraja’ iaitu anugerah paling tinggi dalam pertubuhan seragam itu pada hari ini dipilih atas kecemerlangan, prestasi dan sahsiah cemerlang yang ditunjukkan oleh mereka selama ini.

Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada Abdul Rahman yang juga Penaung PPM Pulau Pinang atas keprihatinannya berusaha mengembangkan pergerakan kemasyarakatan anggota pengakap pada semua peringkat di negeri ini.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI
Video : CHAN KOK KUAN