Kon Yeow syukur 10 ADUN nafi percubaan tukar Ketua Menteri pasca PRN

Admin

BUKIT TENGAH – 10 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Pinang (menerusi kenyataan dikeluarkan DAP Pulau Pinang semalam) dilaporkan menafikan ada percubaan untuk mengggantikan Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow sebagai Ketua Menteri selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti, lapor portal atas talian, Malaysiakini.

Kon Yeow yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Pulau Pinang merangkap Pengerusi Negeri Parti Tindakan Demokratik (DAP) berkata bahawa beliau bersyukur dengan laporan portal berita itu semalam.

“Saya berasa syukur ekoran laporan Malaysiakini (iaitu) 10 ADUN telah mengeluarkan kenyataan untuk menafikan ada usaha dalaman bagi menggantikan saya sebagai Ketua Menteri selepas PRN yang akan datang,” jelasnya yang juga ADUN Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Batu Kawan.

Kata Exco Pembangunan Tanah & Ekonomi dan Komunikasi itu lagi, ketika ini, fokus pentadbirannya adalah membuat persiapan memenangi PRN akan datang atas dwigabungan parti politik PH dan Barisan Nasional (BN).

“Dengan gabungan kuat antara PH dan BN demi mencapai kemenangan yang besar di Pulau Pinang.

“Bagi tujuan ini, maka saya menyeru semua ahli dari DAP mahupun rakan-rakan kami dalam PH serta rakan dalam ‘Kerajaan Perpaduan’ (iaitu Umno dan BN) supaya jangan menimbulkan peluang-peluang kepada musuh politik kita untuk memainkan isu yang boleh menjejaskan sokongan rakyat kepada barisan calon kita,” ujarnya dalam nada sederhana.

Kon Yeow memberi respons tersebut selepas merasmikan Majlis Peluncuran Semula Sky Residences Perai oleh Kumpulqn Ascott pada Citadines Perai Pulau Pinang di sini tadi.

Semalam, Malaysiakini antara lain melaporkan bahawa terdapat tiga ADUN terlibat dalam usaha menukar Kon Yeow sebagai Ketua Menteri pasca PRN nanti.

Menurut sumber portal berita lagi, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook menjelaskan bahawa beliau tidak tahu menahu mengenai dakwaan serta khabar angin wujud langkah politik dalam parti supaya Lim Guan Eng dapat kembali ke pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang.

 

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : MOHAMAD AMIR IRSYAD OMAR
Video : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS