Kon Yeow terima kunjungan hormat perpisahan Pegawai Daerah SPS

Admin

GEORGE TOWN – Isu di tapak pelupusan sampah Pulau Burung dan pengurusan krisis kesihatan semasa pandemik COVID-19 merupakan antara momen yang dibangkitkan ketika kunjungan hormat perpisahan Pegawai Daerah Seberang Perai Selatan (SPS), Marlia Mohd. Belia ke atas Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow di Komtar sebentar tadi.

Turut dibincangkan adalah pengurusan pembekalan air, kesesakan lalu lintas dan isu berkaitan pembangunan luar bandar di SPS selain berkongsi pengalaman berurusan dengan orang awam pada peringkat akar umbi.

MARLIA Mohd. Belia.

Pada pertemuan itu juga, Marlia membangkitkan beberapa perkara lain berkaitan termasuk menyorot kembali perjalanannya sepanjang tempoh perkhidmatan di Pulau Pinang selama 10 tahun.

“Saya amat berbesar hati dapat berkhidmat dan mencurah bakti di Pulau Pinang selama ini,” ujarnya sambil menyatakan penghargaan kepada Kon Yeow dan pimpinan negeri yang banyak membantu dalam sistem penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.

Marlia dinaikkan pangkat dan bakal memulakan tugas di Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Negeri Sembilan sebagai Pengarah. Sebelum ini, beliau merupakan Timbalan Pengarah di PTG Pulau Pinang selama setahun kemudian ke Pejabat Daerah Seberang Perai Utara (SPU) sebagai Pegawai Daerah sebelum ke Pejabat Daerah Seberang Perai Selatan (SPS). Malah beliau juga pernah berkhidmat di Pejabat Daerah dan Tanah Larut, Matang dan Selama di Perak.

Pada kesempatan itu, Kon Yeow turut menzahirkan penghargaan dan ucapan terima kasih atas khidmat bakti serta mengucapkan selamat maju jaya kepada Marlia.

Selamat bertugas dan berkhidmat di tempat baru.

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : NUR ATIKAH RAHMAT