Kon Yeow tinjau pelaksana SOP Fasa Pembiasan Strategi Pemulihan Berperingkat di IKEA Batu Kawan

Admin

BUKIT TAMBUN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow pagi ini membuat tinjauan pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) di gedung kelengkapan rumah IKEA Batu Kawan, sempena Fasa Pembiasaan Strategi Pemulihan Berperingkat yang bermula pada hari ini sehingga 12 Mei 2020.

Exco Pelancongan, Seni, Budaya dan Warisan, Yeoh Soon Hin; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tambun, Goh Choon Aik; Ahli Parlimen Batu Kawan, P. Kasthuriraani dan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Dato’ Sr. Rozali Mohamud turut sertai lawatan ringkas tersebut.

Hadir sama, Pemangku Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan (SPS), Deputi Supritendan Baeyah Abdul Wahab dan Ketua Polis Balai Simpang Empat, K.P. Surestaran.

Kira-kira 45 minit, rombongan Kon Yeow dibawa melihat tahap persediaan SOP di semua bahagian lot komersial dalam bangunan kompleks gedung dekat sini.

“Sepanjang tempoh PKP ini (iaitu) sebelum bermula Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ini pun, kita berusaha mengurangkan mesej komersial kerana tidak mahu berlaku lambakan pengunjung bermula pada pagi ini.

“Yang banyak ditekankan dalam mesej khidmat kemasyarakatan kita sepanjang tempoh PKP sejak 18 Mac lalu adalah kempen peri penting amal jarak sosial, pakai pelitup muka, senantiasa sanitasi tangan atau kerap basuh tangan dengan sabun, kerana ini tanggungjawab sosial korporat kami.

“Kami (IKEA Batu Kawan) mempunyai komitmen yang sama dengan negeri Pulau Pinang iaitu mahu memutuskan semua rantaian perebakan wabak COVID-19 secepat mungkin, agar operasi ekonomi pada kapasiti penuh mengikut cadangan pelan pemulihan aktiviti ekonomi dapat dilaksana ikut perancangan Kerajaan Negeri,” jelas Pengurus Gedung, A. Pathmalingam dalam sesi taklimat ringkas di pintu masuk utama IKEA Batu Kawan.

Difahamkan, menurut rangka pelaksanaan ‘Strategi Pemulihan Berperingkat Pulau Pinang’ yang diumumkan Kon Yeow baru-baru ini, fasa pembiasan bertujuan untuk semua sektor tambahan yang mendapat kebenaran memulakan operasi di bawah PKBP serta rakyat secara perlahan-lahan boleh menyesuaikan diri dengan SOP dan norma baru ini.

Selepas itu, diikuti, fasa pembukaan untuk sektor-sektor tambahan yang dibenarkan beroperasi di bawah PKPB pada kapasiti penuh ketiga, bermula pada 13 Mei dan seterusnya.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD
Video : DARWINA MOHD. DAUD