KPKT pertimbang lulus dana 44 projek penyelenggaraan di Pulau Pinang – Exco

Admin

GEORGE TOWN – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) memberi komitmen untuk mempertimbangkan kelulusan dana bagi 44 projek penyelenggaraan membabitkan perumahan awam dan swasta di negeri ini.

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar dan Desa, Jagdeep Singh Deo berkata, berita baik itu diterima sejurus Mesyuarat Penyelarasan Bagi Tabung Penyelenggaraan Perumahan Malaysia (TPPM) dan Projek Penyelenggaraan Perumahan (PPP) semalam, yang dihadiri oleh wakil Bahagian Perumahan di Putrajaya.

JAGDEEP Singh Deo (kanan) ketika mengumumkan hasil Mesyuarat Penyelarasan Bagi TPPM dan PPP pada sidang media pagi ini. Turut sama ‘Ainul Fadhilah Samsudi.

“Sebelum ini, Kerajaan Negeri telah membuat permohonan peruntukan sebanyak RM100 juta daripada Putrajaya (KPKT) bagi dana penyelenggaraan perumahan di negeri ini.

“(Dan) semalam, saya menerima maklum balas bahawa Putrajaya menunjukkan komitmen bagi mempertimbangkan kelulusan dana bagi 44 projek penyelenggaraan berjumlah RM34.8 juta,” ujarnya kepada pemberita pada sidang media di Komtar hari ini.

Hadir sama, Ketua Penolong Setiausaha Kanan (Perumahan), ‘Ainul Fadhilah Samsudi dan Penolong Setiausaha Kanan (Seksyen Pengurusan Perumahan), Mohd. Fauzy Mohd. Yusoff.

Mengulas lanjut, Jagdeep memaklumkan bahawa sebanyak 11 daripada 12 projek penyelenggaraan yang dimohon membabitkan skim perumahan awam di bawah PPP, dipertimbangkan untuk kelulusan dana berjumlah RM23 juta.

“Manakala bagi skim perumahan swasta yang layak di bawah TPPM pula, 33 daripada 121 yang dimohon juga dipertimbangkan untuk kelulusan melibatkan kawasan pentadbiran Majlis Bandaraya Pulau Pinang (14 projek penyelenggaraan dengan dana RM4.8 juta) dan Majlis Bandaraya Seberang Perai (19 projek, RM7.0 juta).

“Peruntukan (dana) penyelenggaraan ini kebanyakannya melibatkan sama ada penggantian atau naik taraf lif, bumbung, tangki air dan pembaikan kerosakan am pada kemudahan awam.

“(Dan) sekiranya kelulusan dana ini diterima, bermakna Pulau Pinang menjadi salah satu negeri yang terbanyak menerima peruntukan bagi projek penyelenggaraan yang disediakan oleh Kerajaan Persekutuan melalui Bajet 2020 iaitu RM100 juta,” katanya.

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD