Kutipan zakat fitrah cecah rekod RM10.3 juta, lebih 21,000 asnaf nikmati manfaat

Admin
img 3417

BAGAN JERMAL – Kutipan zakat fitrah di Pulau Pinang bagi tahun 2026 mencatat rekod baharu apabila mencecah RM10.316 juta, meningkat 16.09 peratus berbanding RM8.89 juta yang direkodkan pada tahun sebelumnya.

Timbalan Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP), Prof. Emeritus Dato’ Dr. Abdul Aziz Tajuddin berkata, pencapaian tersebut bukan sahaja melepasi sasaran awal RM10.2 juta sebanyak RM116,313, malah mencatat lebihan sebanyak 1.14 peratus.

Menurut beliau, peningkatan itu didorong oleh usaha bersepadu para amil zakat fitrah, institusi masjid, penambahbaikan sistem kutipan, peluasan saluran pembayaran serta kesedaran umat Islam untuk menunaikan zakat melalui saluran yang sah.

“Bagi tahun 1447H, seramai 1,686 amil zakat fitrah telah dilantik membabitkan 239 kariah di seluruh Pulau Pinang meliputi Masjid Negeri, masjid daerah, masjid kariah serta pusat kutipan yang ditetapkan.

“Angka ini mencerminkan kekuatan jaringan serta kepercayaan masyarakat terhadap para amil yang telah menjalankan amanah dengan penuh dedikasi,” katanya ketika berucap pada Majlis Anugerah Amil Zakat Fitrah (MAFIT) Tahun 1447H/2026M di PICCA Convention Centre @ Butterworth Arena pada 30 Julai 2026.

img 3418
ABDUL Aziz.

Mengulas mengenai pendigitalan sistem kutipan, Abdul Aziz berkata, kutipan melalui Smart Amil dan saluran dalam talian bagi tahun 2026 meningkat ketara kepada RM2.12 juta berbanding RM877,098.08 pada tahun 2025, iaitu meningkat sebanyak 141.79 peratus.

“Kutipan digital kini menyumbang kira-kira 20.56 peratus daripada keseluruhan kutipan zakat fitrah berbanding hanya 9.87 peratus pada tahun sebelumnya.

“Sehubungan itu, latihan literasi digital kepada para amil perlu terus diperkasakan agar mereka mahir menggunakan teknologi, memahami aspek keselamatan data serta mampu membimbing masyarakat menggunakan saluran pembayaran digital,” jelasnya lanjut.

img 3415 img 3416
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Zakat MAINPP, Mohamad Kairi Ghazalli berkata, hasil kutipan zakat fitrah yang memberangsangkan membolehkan pelbagai inisiatif kebajikan dilaksanakan bagi membantu golongan yang memerlukan.

“Sepanjang Ramadan dan Aidilfitri, bantuan disalurkan menerusi empat inisiatif utama iaitu Agihan Zakat Nur Ramadan yang memanfaatkan 14,126 asnaf; Saguhati Hari Raya kepada 7,539 asnaf fakir dan miskin; Saguhati Aidilfitri kepada 235 pesakit Pusat Hemodialisis Zakat serta bantuan pakaian dan duit raya kepada 75 pelajar Inapan Kasih Sayang MAINPP.

“Secara keseluruhannya, lebih 21,000 penerima manfaat menerima bantuan menerusi empat inisiatif ini.

“Ini membuktikan bahawa peranan Zakat MAINPP bukan sekadar memenuhi keperluan asas keluarga asnaf, malah turut membantu persediaan Aidilfitri, menyantuni pesakit yang menjalani rawatan serta menjaga kebajikan pelajar di bawah jagaan MAINPP,” katanya.

Oleh : NUR ASHIKIN ISMAIL