Laksana pelan strategik pelaburan tertangguh disebabkan PKP

MOHD. Bazid Abd. Kahar semasa bicarawara di KOMTAR awal pagi ini.

GEORGE TOWN – Dato’ Mohd. Bazid Abd. Kahar awal pagi tadi baru melafazkan Aku Janji sambung perjawatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) sehingga 31 Disember tahun ini, di hadapan Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow di sini.

Dalam reaksi spontan selepas itu, Mohd. Bazid memberitahu bahawa beliau sepatutnya tamat perjawatan semalam tetapi Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri baru-baru ini telah melanjutkan tempoh perkhidmatannya dengan agensi Kerajaan Negeri tersebut untuk tempoh tiga bulan lagi.

“Sepatutnya saya habis (perjawatan) semalam, tetapi kalau habis begitu sahaja, Y.A.B. Ketua Menteri kata memberi kesinambungan kepada perancangan (dalam PDC).

“Jadi, saya dilanjutkan tempoh perjawatan selama tiga bulan lagi untuk memastikan beberapa kerja-kerja berkaitan boleh diserahkan kepada calon CEO akan datang, supaya segala perancangan projek pelaburan PDC tidak akan terjejas,” jelasnya selepas mengadakan kunjungan hormat dekat Pejabat Ketua Menteri, Komtar di sini pada 1 Oktober 2021.

KUNJUNGAN hormat Mohd. Bazid Abd. Kahar ke Pejabat Ketua Menteri di Komtar pagi ini.

Dalam tempoh tiga bulan ini, Mohd. Bazid menyatakan bahawa antara tumpuan penting adalah kepada beberapa projek pelaburan berdasarkan pelan strategik sedia ada yang tertangguh sebelum ini, disebabkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) begitu panjang.

Di samping itu, selepas tempoh tiga bulan ini, Kon Yeow mahu segala pelan strategik yang telahpun direncanakan oleh PDC dapat diteruskan dengan lancar oleh kepemimpinan yang baharu.

“Perancangan pelaburan PDC semuanya baik, cuma tidak boleh berjalan mengikut jadual, proses rundingan lanjut dengan pelabur-pelabur juga tertangguh sebelum ini adalah disebabkan PKP.

“Justeru, untuk tiga bulan ini, demi memastikan proses peralihan (kepemimpinan) lebih lancar dan memastikan projek-projek yang sedang berjalan ini semakin lancar,” ujarnya sambil merakamkan penghargaan atas kepercayaan yang diberikan oleh Kon Yeow yang juga Exco Hal Ehwal Tanah & Ekonomi dan Komunikasi.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : ADLEENA RAHAYU MOHD. RADZI