Langkah proaktif, tiga jalan perumahan bebas lori berat mulai 1 Julai

Admin
img 20260613 wa0002

BUKIT TENGAH – Penduduk Taman Kerjasama dan Kampung Tok Panjang bakal menikmati persekitaran yang lebih selamat serta lancar apabila Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) menguatkuasakan larangan kemasukan kenderaan berat melebihi lima tan di tiga laluan utama kawasan berkenaan bermula 1 Julai ini.

 

 

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tengah, Gooi Hsiao-Leung berkata, pelaksanaan larangan itu melibatkan Tingkat Kerjasama 4, Jalan Kerjasama 1 dan Jalan Saga Jaya 3 yang sebelum ini sering digunakan sebagai laluan pintas oleh lori dan treler, sekali gus menimbulkan masalah kesesakan lalu lintas, kerosakan jalan raya serta risiko kemalangan kepada penduduk setempat.

 

 

Menurut beliau, langkah tersebut merupakan hasil usaha berterusan penduduk, Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) dan Ahli Majlis MBSP yang sejak sekian lama membangkitkan isu berkenaan kepada pihak berkuasa tempatan.

 

 

Cadangan ini telah dibentangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Lalu Lintas dan Infrastruktur pada 7 Mac 2025 sebelum diluluskan dalam Mesyuarat Penuh MBSP pada 20 Mac 2025.

 

 

“Ia kemudiannya diwartakan secara rasmi pada 26 Mac tahun ini dan tindakan penguatkuasaan akan bermula pada 1 Julai,” katanya pada sesi sidang media dan lawatan tapak di sini baru-baru ini.

 

img 20260613 wa0001

 

Hadir sama, Ahli Majlis MBSP, Darwin Lim Chee Chien, wakil jabatan MBSP, MPKK serta Persatuan Penduduk Taman Kerjasama/Pekan Baru.

 

 

Mengulas lanjut, beliau memberitahu bahawa kawasan perumahan utama Taman Kerjasama dan Kampung Tok Panjang sering menjadi laluan kenderaan berat sehingga menyebabkan kerosakan jalan raya selain meningkatkan risiko kemalangan kepada pengguna jalan raya dan penduduk.

 

 

Sehubungan itu, semua kenderaan berat melebihi lima tan akan diwajibkan menggunakan laluan alternatif melalui jalan persekutuan dan tidak lagi dibenarkan melalui kawasan perumahan berkenaan.

 

 

“Walau bagaimanapun, larangan tersebut tidak melibatkan kenderaan milik kerajaan dan badan berkanun seperti ambulans serta jentera bomba yang dikecualikan daripada penguatkuasaan tersebut,” ujarnya.

 

 

Hsiao-Leung turut menegaskan bahawa aspek penguatkuasaan yang konsisten amat penting bagi memastikan pelaksanaan larangan tersebut benar-benar mencapai matlamatnya dalam meningkatkan keselamatan serta kesejahteraan komuniti setempat.

screenshot 20260614 193639 samsung notes

screenshot 20260614 193941 samsung notes

 

Sementara itu, Chee Chien menjelaskan bahawa larangan kemasukan kenderaan berat tersebut akan berkuat kuasa selama 24 jam sehari tanpa sebarang had masa tertentu.

 

 

Katanya, sebelum penguatkuasaan bermula, MBSP akan menjalankan hebahan awal termasuk melalui sidang media dan pemasangan papan tanda bagi memastikan pengguna jalan raya mendapat maklumat secukupnya.

 

 

Penguatkuasaan rasmi akan bermula pada 1 Julai 2026 dengan kerjasama pihak polis dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

 

 

“Kami juga akan terus mendapatkan maklum balas daripada semua pihak dan jika terdapat keperluan pada masa hadapan, penambahbaikan dan semakan terhadap pelaksanaan ini boleh dipertimbangkan,” katanya lagi.

 

 

Menurut beliau, keadaan trafik di kawasan berkenaan sering sesak terutama pada waktu puncak pagi dan petang serta ketika tamat sesi persekolahan.

 

 

Tambahnya, laluan yang menghubungkan kawasan tersebut dengan Kampung Tok Panjang juga agak sempit dan sering mengalami kesesakan apabila lori treler bersaiz besar melalui jalan berkenaan sehingga menghalang pergerakan trafik dua hala.

 

 

Beliau memaklumkan bahawa MBSP sebelum ini pernah mencadangkan kerja-kerja pelebaran jalan di kawasan terbabit, namun pelaksanaannya perlu diselaraskan dengan perancangan pembangunan masa hadapan.

 

img 20260613 wa0003

 

Dalam perkembangan sama, Hsiao-Leung mencadangkan agar Kerajaan Negeri mengkaji kemungkinan membuka laluan Jalan Pengkalan yang menghubungkan kawasan tersebut secara terus ke akses lebuh raya.

 

 

“Penduduk Bukit Tengah ketika ini banyak bergantung kepada Jalan Bukit Tengah dan Jalan Kebun Nenas sebagai laluan utama keluar masuk kawasan berkenaan.

 

 

Jumlah kenderaan semakin meningkat dari semasa ke semasa, jadi sekiranya satu akses baharu dapat diwujudkan, ia mampu membantu mengurangkan kesesakan serta mengagihkan aliran trafik dengan lebih baik.

 

 

“Cadangan ini telah dikemukakan kepada Kerajaan Negeri untuk pertimbangan dan masih berada pada peringkat perbincangan awal.

 

 

“Namun, saya percaya ia mampu memberi manfaat besar kepada penduduk Bukit Tengah,” katanya.

 

 

 

Gambar: ADUN