Laporan polis dibuat susulan fitnah babitkan Ketua Menteri

Admin

DATUK KERAMAT – Satu laporan polis telah dibuat berhubung penularan mesej dan berita palsu di media sosial yang dikaitkan dengan Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Delima, Syerleena Abdul Rashid berkata bahawa mesej yang disebarkan melalui platform media sosial, Facebook Det Santai Dee Villa tersebut adalah helah politik toksid yang sengaja ingin memecah-belahkan ketenteraman awam dan perpaduan kaum.

“Diharap Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pihak berkenaan (Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia, SKMM) dapat menjalankan siasatan serta mengambil tindakan terhadap pihak yang sengaja menyebarkan fitnah ini.

“Urusan ekonomi serta kesihatan awam harus diutamakan pada masa sekarang apabila negara kita menghadapi cabaran pandemik COVID-19.

“Tiada tempat bagi penyebaran fitnah yang berasaskan perkauman dan kebencian,” tegasnya ketika ditemui di perkarangan Balai Polis Jalan Patani di sini sejurus membuat laporan polis sebentar tadi.

Hadir sama, Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri merangkap ADUN Komtar, Teh Lai Heng; Daniel Gooi Zi Sen (ADUN Pengkalan Kota); Ahli-ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan wakil-wakil dari parti DAP (Parti Tindakan Demokratik), PKR (Parti Keadilan Rakyat) serta Amanah negeri.

Pada sidang media berkenaan, Syerleena turut menunjukkan paparan screen mesej berkaitan yang tular sejak beberapa bulan lalu, antaranya yang berbunyi:

“Melayu yang sokong DAP adalah Melayu bangsat, jadi perosak kepada bangsa, agama dan negara (bertarikh 26 Mei 2020, jam 15:57 petang)

“Matlamat DAP bila dah dapat kuasa, yang ini khadam-khadam DAPig mesti suka dan bangga (bertarikh 29 Mac 2020, jam 11:45 pagi).

“Fakta… kerajaan PH memerintah 22 bulan, tapi menipu rakyat, merompak hasil-hasil negara, hutang negara bertambah daripada billion kepada trillion, mandat rakyat entah ke mana (bertarikh 29 Mac 2020, jam 10:11 pagi),” ujarnya.

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF
Gambar : LAW SUUN TING