Larian Menara MPSP disenarai sebagai program sukan negeri

SEBERANG JAYA – Acara Larian Menara Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) kini disenaraikan di dalam kalendar tahunan sukan Kerajaan Negeri.

Yang di-Pertua MPSP, Dato’ Maimunah Mohd. Sharif berkata, menerusi penganjuran tersebut, ia bukan hanya dapat melahirkan masyarakat dengan amalan gaya hidup sihat.

“Sebaliknya, ia (program) juga merupakan medium dalam menyatukan masyarakat tanpa mengira pangkat, usia, jantina dan bangsa,’’ ucapnya pada Majlis Pelancaran Larian Menara MPSP Ketiga 2015 di sini baru-baru ini.

Majlis pelepasan peserta disempurnakan Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Mohd. Rashid Hasnon dan Exco Pertanian dan Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya, Dr. Afif Bahardin.

Kira-kira 600 peserta dari dalam dan luar negeri mengambil bahagian dalam acara yang turut dimeriahkan dengan kehadiran Setiausaha Perbandaran MPSP, Sr. Rozali Mohamud, Ahli Majlis MPSP, Mustafa Kamal Ahmad dan ketua-ketua jabatan MPSP berkaitan.

Antaranya, seramai 32 peserta adalah dari negeri Kedah, Perak (15), Kuala Lumpur (5), Selangor (4), Johor (5) dan Sabah (6).

Peserta dari Bukit Mertajam iaitu K.K. Chandirann diumumkan sebagai juara bagi Kategori Lelaki Terbuka. Kemenangan tersebut membolehkan beliau membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM300, medal serta sijil.

“Saya rasa bersyukur kerana ini adalah kali ketiga berturut-turut saya memenangi acara ini dan dapat menamatkan larian dengan catatan masa 26 minit 18 saat,” ujarnya kepada Buletin Mutiara di sini.

Antara kategori lain yang turut dipertandingkan ialah Kategori Perempuan Terbuka, Kategori Junior Lelaki, Kategori Junior Perempuan, Kategori Veteran Lelaki dan Kategori Veteran Perempuan.

}