SUNGAI PINANG – Lawatan rasmi Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri, Tun Ramli Ngah Talib bersama-sama Yang Mulia Toh Puan Raja Noora Ashikin Raja Abdullah ke Golden Hope, Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) Jelutong hari ini menyerlahkan komitmen berterusan dalam menghargai dan memperkasa golongan warga emas di negeri ini.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Lim Hui Ying menyifatkan kehadiran TYT dan Toh Puan sebagai satu penghormatan besar, bukan sahaja kepada PAWE Jelutong, malah kepada seluruh komuniti warga emas di Pulau Pinang.
Dalam tempoh singkat penubuhannya, PAWE Jelutong telah mencatat perkembangan memberangsangkan dengan keahlian melebihi 700 orang.
“Pusat ini bukan sekadar tempat berkumpul, malah berfungsi sebagai platform sosial inklusif yang menyatukan warga emas pelbagai kaum melalui pelbagai aktiviti seperti tarian, nyanyian dan persembahan kebudayaan,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pada sesi lawatan rasmi berkaitan di sini pagi tadi.

Turut berucap pada majlis sama ialah Exco Pembangunan Sosial, Kebajikan dan Hal Ehwal Bukan Islam merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Pinang, Lim Siew Khim dan Ahli Parlimen Jelutong, R.S.N. Rayer.
Dalam pada itu, Hui Ying yang juga Ahli Parlimen Tanjong berkata, PAWE turut memainkan peranan penting sebagai ‘jambatan’ antara generasi dengan membuka ruang interaksi antara warga emas, golongan muda dan keluarga bagi berkongsi pengalaman serta nilai kehidupan.
“Untuk rekod, PAWE merupakan inisiatif Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) yang dilaksanakan melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi memastikan warga emas kekal aktif, berdikari serta menikmati kesejahteraan dari aspek fizikal, mental dan sosial.
Sehingga kini, sebanyak 217 PAWE telah ditubuhkan di seluruh negara dengan hampir 49,000 ahli aktif, manakala Pulau Pinang mempunyai 10 pusat seumpamanya yang berperanan memperkasa komuniti setempat.
“Selain itu, kerajaan (Kerajaan Persekutuan) turut menyediakan geran tahunan sebanyak RM50,000 kepada setiap PAWE bagi menyokong pelaksanaan aktiviti dan kos operasi.
“Konsep PAWE 3A iaitu Anywhere, Everywhere, Anytime juga diperkenalkan bagi memperluas capaian perkhidmatan tanpa terikat kepada premis tertentu,” jelasnya.

Dalam perkembangan berkaitan, Hui Ying memaklumkan bahawa Pulau Pinang turut melaksanakan Pelan Tindakan Strategik Bandar Mesra Usia dengan kerjasama Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Perbadanan Pembangunan Wanita Pulau Pinang (Penang Women’s Development Corporation, PWDC) dan Malaysian Healthy Aging Society (MHAS), selaras dengan aspirasi bandar mesra usia oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
“Pelan ini memberi tumpuan kepada penyediaan persekitaran fizikal mesra warga emas, pengukuhan keterangkuman sosial, penambahbaikan sokongan kesihatan serta membuka lebih banyak peluang penglibatan aktif dalam masyarakat.
“Usaha berterusan ini diharap dapat memastikan warga emas terus dihargai, disayangi dan diberi ruang untuk menjalani kehidupan yang bermaruah serta bermakna,” katanya.
Datuk Bandar MBPP, Dato’ Ir. A. Rajendran serta Pengerusi Golden Hope PAWE Jelutong, Dato’ Seri Lawrence Cheah Seong Paik antara kenamaan yang hadir sama.
Gambar: PEJABAT AHLI PARLIMEN & G. REVATIC