GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri disarankan mengkaji semula keperluan menambah jumlah kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) susulan pertumbuhan penduduk, pembangunan pesat serta peningkatan ketara jumlah pengundi di negeri ini sejak lebih dua dekad lalu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Komtar, Teh Lai Heng berkata, kali terakhir bilangan kerusi DUN Pulau Pinang ditambah adalah pada tahun 2003, apabila jumlahnya meningkat daripada 33 kepada 40 kerusi dan kekal tidak berubah sehingga kini.
Menurutnya, perkembangan demografi dan peningkatan jumlah pengundi di beberapa KADUN menunjukkan wujudnya ketidakseimbangan dari segi beban tanggungjawab perwakilan antara kawasan.
Beliau memberikan contoh tiga KADUN yang mencatatkan jumlah pengundi tinggi berdasarkan daftar pemilih sehingga Julai 2026, iaitu Paya Terubong dengan 64,219 pengundi, Machang Bubuk (60,055) dan Seberang Jaya (51,475).
Keadaan ini menunjukkan bahawa terdapat KADUN yang mempunyai beban tanggungjawab perwakilan jauh lebih besar berbanding kawasan lain.
“Saya berpandangan sudah tiba masanya Kerajaan Negeri mengkaji semula keperluan menambah bilangan kerusi DUN Pulau Pinang dengan mengambil kira pertambahan penduduk, jumlah pengundi serta keseimbangan perwakilan rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan Tahun 2027 dan Usul Anggaran Pembangunan Tahun 2027 pada Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang Kelima Belas di sini hari ini.
Sehubungan itu, beliau meminta penjelasan Kerajaan Negeri sama ada terdapat perancangan untuk mengkaji semula jumlah 40 kerusi DUN sedia ada serta kesediaan untuk memulakan kajian dan mengambil langkah perundangan bagi membolehkan penambahan kerusi berkenaan.
Dalam pada itu, Lai Heng turut menjelaskan bahawa Perkara 113(3A) Perlembagaan Persekutuan menyediakan ruang perundangan untuk mengubah jumlah ahli DUN yang dipilih melalui undang-undang negeri sebelum proses persempadanan semula kawasan pilihan raya dilaksanakan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Penambahan kerusi DUN bukan bertujuan menambah bilangan wakil rakyat semata-mata, tetapi memastikan setiap kawasan mempunyai perwakilan yang lebih seimbang dan wakil rakyat dapat memberikan perkhidmatan yang lebih berkesan kepada masyarakat.
“Sudah lebih 20 tahun kita tidak menambah kerusi DUN dan kini tiba masanya perkara ini diberikan perhatian serius demi memperkukuh demokrasi dan memastikan suara rakyat Pulau Pinang terus mendapat perwakilan yang sewajarnya,” sarannya.
Oleh: AINUL WARDAH SOHILLI