GEORGE TOWN – Projek Lebuhraya Lingkaran Pantai Utara atau North Coastal Paired Road (NPCR) dijangka akan memberi kelegaan kepada penduduk dan pengguna jalan raya di bahagian utara Pulau Pinang apabila laluan alternatif ke Batu Ferringhi dan Teluk Bahang itu siap kelak.
Exco Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital, Zairil Khir Johari berkata, projek bernilai RM2.9 bilion itu melibatkan pembinaan lebuh raya sepanjang 10.61 kilometer (km), termasuk 8.41km laluan darat dan 2.2km jejambat pesisir laut yang menghubungkan Tanjong Bungah hingga Teluk Bahang.
“Apabila siap kelak, masa perjalanan dari Tanjong Bungah ke Teluk Bahang akan berkurang daripada 30 hingga 45 minit pada waktu puncak kepada hanya tujuh minit,” ujarnya dalam kenyataan media bertarikh 8 September 2025.

Mengulas lanjut, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Bungah itu memaklumkan bahawa laluan NCPR akan bermula dari Jalan Tanjong Bungah melalui pesisir pantai berhampiran Masjid Terapung, merentasi laut berdekatan Shamrock, sebelum melalui Batu Ferringhi dan berakhir di Teluk Bahang.
Kerja-kerja pembinaan dijangka bermula pada 2026 dan siap sepenuhnya menjelang 2031.
“Kontraktor dilantik adalah Consortium Zenith Construction (CZC) yang mana mereka kini sedang memuktamadkan reka bentuk terperinci selain membuat pindaan terhadap Kajian Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA), yang dijangka mengambil masa kira-kira satu setengah tahun,” jelasnya.
Bercakap mengenai kos, Zairil memberitahu bahawa daripada jumlah kos keseluruhan, RM500 juta diperuntukkan untuk tujuan pengambilan tanah.
“Bagi tanah milik Kerajaan Negeri, kerja-kerja pembinaan boleh dimulakan sebaik sahaja perjanjian ditandatangani, manakala proses pengambilan lot persendirian dijangka memakan masa enam hingga 12 bulan,” katanya.
Menurut Zairil lagi, NCPR bukan sekadar projek jalan raya semata-mata tetapi satu keperluan mendesak bagi memastikan infrastruktur negeri seiring dengan pembangunan.
“Jika berlaku kemalangan, tanah runtuh atau pokok tumbang di Jalan Batu Ferringhi, seluruh laluan ke Teluk Bahang akan terhalang kerana tiada alternatif lain.
“Maka, NCPR adalah nadi baharu untuk keselamatan, kelancaran dan masa depan Pulau Pinang,” katanya.
Beliau menambah, projek itu turut dijangka membuka peluang sosioekonomi baharu di pesisir utara selain memastikan negeri ini kekal berdaya saing dan berdaya tahan untuk generasi akan datang.
Oleh: AINUL WARDAH SOHILLI Gambar : EXCO