GEORGE TOWN – Pusat Kewangan Antarabangsa Pulau Pinang (PIFC) akan terus menjadi aspirasi jangka panjang Kerajaan Negeri, sungguhpun syor asal itu tidak disokong oleh Kementerian Kewangan (MoF) ketika ini.
Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata demikian sebagai menjawab soalan tambahan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tengah, Gooi Hsiao-Leung, semasa Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang Ke-15 di sini pada 14 November 2025.
“Saya tidak berasa kecewa kerana kita (Kerajaan Negeri) cuma memulakan inisiatif ini (PIFC) pada peringkat awalan atau praawalan, yang mana melalui sepucuk surat kepada Y.A.B. Perdana Menteri dan mungkin dipanjangkan kepada Perbendaharaan (MoF) supaya mengambil maklum mengenai inisiatif Kerajaan Negeri iaitu PIFC,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Batu Kawan.

Kon Yeow yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Ekonomi & Tanah dan Komunikasi memberitahu bahawa sebelum ini pun Kerajaan Negeri telah memulakan inisiatif awalan untuk membina projek transit aliran ringan (LRT) Laluan Mutiara dari Bayan Lepas ke George Town dan berakhir di Penang Sentral, Bagan, lalu kira-kira 10 tahun kemudian baru diangkat serta disokong peringkat Kerajaan Persekutuan.
Tambah Kon Yeow, di sebalik syor PIFC tersebut, Pulau Pinang mahu menjadi platform kewangan serantau dengan memberi tumpuan pada teknologi kewangan (FinTech) serta integrasi berasaskan data, automasi dan kecerdasan buatan (AI).
“Tiga teras utama PIFC iaitu sebagai Dana Pelaburan Industri Negeri (State Sovereign Wealth Fund) dengan menggunakan hasil negeri seperti tanah untuk menjana modal pelaburan tanpa perlu kelulusan langsung daripada Kerajaan Persekutuan.
“(Teras kedua,) Pendigitalan Harta Tanah (iaitu) menukar aset tanah milik negeri kepada Amanah Pelaburan Harta Tanah (REIT) bagi menarik pelabur swasta.
“(Teras ketiga dan terakhir ialah) Pembangunan Fizikal Hab Kewangan (iaitu) mewujudkan zon khas dengan infrastruktur moden dan ekosistem perniagaan digital, disokong oleh pusat data, fintech, dan perkhidmatan sokongan profesional,” ujarnya.
Penjelasan Kon Yeow itu sekali gus menjawab soalan tambahan yang dibangkitkan oleh ADUN Komtar, Teh Lai Heng.
Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : SIEW CHIA EN