Lulus Enakmen Penternakan Babi 2016 selaras dasar Pusat – Exco

PULAU BETONG – Enakmen Penternakan Babi 2016 yang diluluskan dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang baru-baru ini adalah selaras dengan dasar Kerajaan Persekutuan.

Mengulas lanjut, Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin berkata, enakmen baharu berkenaan diharap dapat mencegah pencemaran bau dan air, terutama di kawasan Kampung Selamat dekat daerah Seberang Perai Utara (SPU) dan Kampung Valdor dekat daerah Seberang Perai Selatan (SPS).

“Para penternak babi masih lagi menjalankan aktiviti penternakan secara tradisional sedangkan pada masa kini Kerajaan menyarankan semua penternakan tradisional bertukar pada penternakan moden dan berteknologi.

“Enakmen Penternakan Babi 2016 diperkenalkan bagi mengawal selia dan memastikan industri ini berkembang dengan sihat serta lestari untuk masa depan generasi akan datang.

“Pengenalan enakmen ini adalah bertepatan pada waktunya memandangkan kitalah (Pulau Pinang) merupakan satu-satunya negeri di Malaysia yang masih belum mewartakan  enakmen ini, ” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya di Pejabat Daerah dan Tanah Daerah Barat Daya di sini baru-baru ini.

Menurut Afif, penguatkuasaan berwajib di bawah Akta Kerajaan Tempatan 1976, Undang-Undang Kecil Bayaran Lesen Majlis Perbandaran Seberang Perai 1980 dan Majlis Perbandaran Pulau Pinang 1991 sebelum ini seakan kurang berkesan dalam mengawal penyebaran penyakit dan pencemaran alam sekitar.

“Justeru, pengenalan enakmen baharu ini diharap industri penternakan babi akan terus menyumbang kepada ekonomi serta food security di negeri ini.

“Sehingga tahun 2015 , difahamkan, Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) merekodkan sebanyak 195 ladang berlesen merangkumi 189 penternak, dengan jumlah ternakan sebanyak 294,429 ekor,” ujarnya.

Terdahulu, Kabinet Kerajaan Persekutuan pada 17 September 2014 memutuskan pelaksanaan sistem Modern Pig Farming (MPF) di semua ladang babi di Malaysia.

Menurut ketetapan Kabinet, kriteria utama MPF adalah meliputi empat perkara, iaitu kandang babi tertutup (close house); sistem pengurusan sisa kumbahan ladang zero discharge; mempunyai zon penampan dengan jarak minimum 200 meter dari kawasan rumah kediaman, sekolah, klinik, tempat ibadat, taman rekreasi, pasar dan tempat makan awam; serta mengamalkan Amalan Ladang Ternakan Yang Baik (GAHP).

Enakmen Penternakan Babi 2016 yang diluluskan di DUN Pulau Pinang baru – baru ini adalah selaras dengan keputusan Kabinet Kerajaan Pusat.