Lulus RM6.8 juta naik taraf dua rumah pam atasi banjir kilat

Oleh : SUNARTI YUSOFF

PERAI – Kerajaan Negeri melalui Jawatankuasa Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Tebatan Banjir meluluskan peruntukan  berjumlah RM6,760,600 kepada Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) untuk melaksanakan projek tebatan banjir terutamanya di kawasan perindustrian.

Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow berkata, peruntukan itu adalah membabitkan kerja-kerja menaik taraf dua rumah pam, iaitu Rumah Pam Perai A berjumlah RM3,080,600 dan Rumah Pam Perai B (RM3,680,000).

Jelasnya, kawasan perindustrian adalah sangat penting kerana ia menjadi penyumbang serta penggerak utama kepada sektor ekonomi di Pulau Pinang.

“Oleh itu, kawasan industri perlu dijaga dengan baik dari segi kemudahan seperti bekalan elektrik, air, sistem jalan raya dan sistem pengurusan banjir.

“Jadi, kita harap melalui kerja-kerja menaik taraf ini, rumah pam boleh berfungsi dengan lebih efisien sekaligus dapat mengelakkan kawasan rendah di sini berdepan masalah banjir kilat.

“Inilah antara penyelesaian yang diambil Kerajaan Negeri selain melaksanakan lebih banyak projek yang memerlukan peruntukan lebih besar pada masa akan datang,” ujarnya pada sidang media semasa lawatannya ke Rumah Pam Perai A, dekat Kawasan Perindustrian di sini 6 Februari lalu.

Turut hadir, Timbalan Ketua Menteri II, Prof. Dr. P. Ramasamy yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perai dan Pemangku Pengarah Kejuruteraan MPSP, Baderul Amin Abdul Hamid.

Dalam kejadian banjir pada 4 dan 5 November tahun lepas, Daerah Seberang Perai Utara (SPU) disifatkan sebagai kawasan yang paling teruk terjejas berikutan angin kuat serta hujan lebat lebih 15 jam.

Dalam pada itu, Baderul Amin memberitahu, kerja-kerja menaik taraf yang dicadangkan MPSP adalah melibatkan penambahan dua rumah pam baharu selain menaik taraf mesin mengangkat sampah-sampah sedia ada.

“Rumah pam lama seluas 8.36 kilometer persegi ini mempunyai empat unit pam berkapasiti 3500 liter per saat (L/s), 2 unit pam (1130L/s) dan 4 unit (472L/s).

“Sebanyak 611 kilang di kawasan industri Perai bergantung kepada dua rumah pam ini, tapi mesin yang kita ada tidak berfungsi secara efisien.

“Ini menyebabkan banyak sampah tersangkut sekaligus menaikkan paras air. Jadi, kita perlukan jentera yang lebih cepat untuk mengangkat sampah-sampah ini keluar,” jelasnya sambil menzahirkan ucapan terima di atas keprihatinan Kerajaan Negeri meluluskan permohonan peruntukan tersebut.

Kerja-kerja menaik taraf kedua-dua rumah pam tersebut dijangka siap masing-masing pada 18 Jun dan 30 Ogos 2018.

Sebagai rekod, sehingga kini Kerajaan Negeri sudah membelanjakan sebanyak RM27 juta sejak 2008 untuk melaksanakan beberapa projek tebatan banjir di Pulau Pinang.