MAHB bentang pelan naik taraf LTAPP

Admin

BAYAN LEPAS- Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow menyatakan bahawa Malaysia Airport Holdings Berhad (MAHB) perlu bekerjasama dengan Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) bagi kerja-kerja naik taraf melibatkan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) di Bayan Lepas.

 

Menurut beliau, perkara tersebut amat penting kerana ia melibatkan penggunaan tanah di kawasan sekitar.

 

 

“Saya melihat kepentingan usaha naik taraf lapangan terbang kepada 12 MPPA (12 juta penumpang setahun) dan ia bakal melibatkan keperluan tanah yang perlu dimohon.

 

 

“Difahamkan, sebelum ini PDC ada menyatakan beberapa persoalan termasuk perancangan melibatkan hab logistik tanah-tanah milik agensi berkaitan,” responsnya pada sesi soal jawab dan taklimat Pelan Pembangunan LTAPP di sini pagi tadi.

 

Hadir sama, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook; Exco Pengangkutan dan Infrastruktur, Zairil Khir Johari; Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif, Yeoh Soon Hin; Setiausaha Kerajaan Negeri; Dato’ Mohd. Sayuthi Bakar; Pengarah Urusan MAHB, Dato’ Iskandar Mizal Mahmood dan wakil-wakil jabatan kerajaan.

 

 

Sementara itu, Iskandar Mizal menyatakan bahawa MAHB akan menjalankan perbincangan teliti bersama-sama pemegang taruh LTAPP bagi memastikan projek naik taraf LTAPP iaitu lapangan terbang ketiga paling sibuk dalam negara itu berjalan lancar.

 

 

Pada sesi tersebut, MAHB turut membentangkan pelan naik taraf dan isu-isu berbangkit di LTAPP  kepada Siew Fook dan Kon Yeow untuk diselesaikan dalam kadar segera.

 

Bersempena sesi lawatan berkaitan, Siew Fook turut dibawa meninjau sekitar LTAPP dan dijadualkan melawat beberapa lagi kemudahan pengangkutan awam sekitar Pulau Pinang.

 

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar: MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR